Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Tiada keperluan untuk mengadakan usul undi percaya terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, kata Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Katanya, PBS menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PBS masih menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
“110 peratus PBS masih sokong Hajiji sebagai Ketua Menteri,” katanya.
Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian turut mengakui ada pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan kerajaan Sabah pada ketika ini.
“Sudah tentu ada pihak yang cuba untuk menggugat kestabilan kerajaan, tetapi setakat ini apa yang kita fikirkan, kita hanya bekerja dahulu. Jika ia benar-benar berlaku barulah kita akan melihat apa yang kita perlu lakukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kepala Singa kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2023 Anjuran Kerajaan Negeri Sabah, di Magellan Sutera Resort di sini, hari ini.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Timbalan Presiden parti STAR Datuk Ellron Angin ketika ditemui pemberita berkata, setakat ini semua ADUN STAR masih menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
Mengulas mengenai khabar angin “membeli ADUN”, Ellron menegaskan yang beliau tidak tahu mengenai perkara itu.
“Saya tidak tahu, apa yang kamu dengar, kamipun dengar begitu, tetapi setakat ini semua ADUN STAR masih menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
“Belum ada cubaan membeli, mungkin tidak berani kerana kami pasukan dengan Hajiji. Jangan cuba-cuba, setialah dengannya (Hajiji),” katanya.