HomeEkonomiArca pasir Tahun Baharu Cina 2023, jadi tarikan pengunjung

Arca pasir Tahun Baharu Cina 2023, jadi tarikan pengunjung

Read Time:2 Minute, 27 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sebuah arca pasir dibina berkonsepkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2023, menjadi tarikan pengunjung di Pantai Awam, Tanjung Aru dekat sini.

Pengukir arca pasir Benjamin David, 63, berkata, kali ini sebuah arca pasir berkonsepkan Tahun Baharu Cina dibina adalah untuk memeriahkan sambutan perayaan itu yang akan diraikan oleh masyarakat Tionghua tidak lama lagi.

“Semestinya ia juga diraikan oleh semua kaum di negeri ini, di Malaysia khususnya di Sabah adalah sebuah negeri berbilang bangsa dan agama jadi saya membina arca pasir ini khas untuk tatapan semua masyarakat,” katanya ketika ditemui Sabah Media hari ini.

Menurut Benjamin, konsep Tahun Baharu Cina 2023, selain perkataan Gong Xi Fa Cai, beliau juga mengukir objek dua ekor arnab sebagai simbolik tahun ini dalam kalender Cina ialah Tahun Arnab dan ukiran dua orang masyarakat Tionghua serta dua ekor singa.

“Kesemua objek ini, saya mengambil masa selama lima hari untuk mengukirnya dan ia juga bergantung kepada keadaan cuaca dan hari ini saya akan menyiapkan,” jelasnya.

Benjamin atau lebih dikenali sebagai Mr Sandman berkata, beliau tidak akan berhenti untuk mengukir arca pasir di situ selagi diizinkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Saya tidak akan berhenti melakukan ini selagi saya diberi keizinan dari pihak DBKK, malah mereka turut memberi kerjasama dan ada juga penguatkuasa yang datang, dia mengatakan bahawa mereka sungguh bangga sebab tempat ini saya jadikan satu tarikan kepada pengunjung dan juga pelancong-pelancong yang datang ke tempat ini.

“Sepanjang penglibatan saya mengukir arca pasir di sini hampir setahun yang lalu bermula 14 Februari, saya telah membina lebih kurang 50 objek selain fauna dan flora termasuklah berkonsepkan perayaan Pesta Menuai, Hari Raya Aidilfitri, Hari Kebangsaan dan Hari Krismas.

“Sungguhpun kesemua arca yang saya bina tidak tahan lama kerana faktor cuaca dan sebagainya tetapi saya berasa puashati dan gembira kerana dapat memberi sesuatu kepada pengunjung di sini,” katanya.

Tambah beliau, sebaik sahaja sempadan negara dibuka untuk pelancong luar, ramai pelancong dari negara lain seperti Korea, Jepun, Australia, London, China dan lain-lain.

“Ada juga rakyat Sabah yang telah bermastautin di China kerana berkahwin di sana, beliau merakamkan gambar-gambar arca pasir yang saya bina ini dan ia sudah tersebar luas di negara itu,” katanya yang turut bangga dengan pencapaiannya dalam bidang itu.

Dalam pada itu, Benjamin juga sangat mengalu-alukan kepada pihak berwajib sekiranya tapak di mana beliau membina arca pasir dijadikan tapak khas untuk mencungkil bakat-bakat baru yang ingin mencuba dalam bidang itu.

Beliau juga turut mendedahkan ada pihak dari pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang tertarik dengan ukiran arcanya dan sanggup membina atap sementara di tapak berkenaan.

“Ada NGO yang sanggup tolong bagi atap sementara, tapi saya cakap kalau itu kemungkinan kita terpaksa tulis surat minta keizinan daripada pihak DBKK,” ujarnya.

Benjamin turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat Malaysia.

“Sempena dengan Tahun Baharu Cina ini, saya berharap ia diraikan bersama dan juga memupuk perpaduan di kalangan rakyat sabah dan malaysia yang berbilang kaum,” katanya

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

YTL PowerSeraya Bina Loji Hidrogen Baharu di Pulau Jurong, Sasar Pengurangan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular