KOTA KINABALU: Kestabilan Kerajaan Negeri Sabah perlu dikekalkan sehingga penggal ke-16 Sabah tamat, untuk memberi peluang kepada kerajaan merealisasikan visi Sabah Maju Jaya (SMJ) menjelang tahun 2025.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Jamain Sarudin berkata, kemelut politik Sabah hampir reda, apabila Ketua Menteri menyusun semula pentadbiran negeri termasuk merombak kabinet pada 11 Januari.
Justeru itu, katanya, masa ini bukan masa berpolitik, akan tetapi masa bekerja untuk menunaikan janji-janji pilihan raya negeri pada September 2020.
“Kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berada pada landasan betul, seperti mana dibuktikan menerusi kutipan hasil negeri pada Tahun 2022 yang berjumlah RM6.97 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jamain yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, era kepemimpinan negeri masa ini, bukan sahaja memastikan isu-isu tertangguh dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan, akan tetapi juga merealisasikannya.
Katanya, salah satu pencapaian kerajaan hari ini, apabila Geran Khas Persekutuan meningkat berkali ganda, yang mana untuk Tahun 2023 berjumlah RM260 juta, dan dijangka akan terus meningkat menjelang tahun 2026, apabila formula pengiraan dimuktamadkan.
Oleh itu beliau turut mencadangkan mana-mana pihak, agar memberi kepercayaan pada kepemimpinan negeri untuk terus mengurus negeri tanpa gangguan atau campur tangan.