Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU: Penganjuran Festival Makan-Makan yang diadakan sempena ulang tahun ke-23 Bandaraya Kota Kinabalu bermula semalam dilihat mampu memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai makanan dan masakan warisan etnik di negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, festival yang diadakan selama tiga hari itu juga dapat menarik minat masyarakat untuk sama-sama mengenali makanan tradisi yang menjadi kebanggaan masyarakat Sabah.
“Penganjuran festival ini juga adalah bertujuan untuk mempersembahkan keunikan dan kepelbagaian menu masakan warisan kepada orang yang berkunjung terutama kepada yang bukan berasal dari negeri Sabah.
“Selain itu, festival ini juga dapat mempromosikan makanan yang mempunyai potensi untuk dikomersilkan selain membantu usahawan-usahawan meningkatkan pendapatan ekonomi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Makan-Makan Kota Kinabalu sempena ulang tahun ke-23 Bandaraya Kota Kinabalu di sini semalam.
Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip.
Abidin berkata, festival ini juga telah menghimpunkan pelbagai jenis makanan yang terdiri daripada masakan tradisional, sajian kampung, western food dan makanan viral di sekitar kawasan bandaraya Kota Kinabalu.
“Saya difahamkan sebanyak 88 lot jualan disediakan dalam program yang berlangsung sepanjang tiga hari ini. Selain daripada jualan pelbagai jenis makanan di sekitar DBKK Square ini, festival ini juga diisi dengan pelbagai acara menarik.
“Antaranya Finest Freestyle Dance Battle yang akan diadakan pada hari esok (hari ini) di Taman Chong Thien Vun ini; Street Soccer 3 on 3 Challenge juga pada hari sama di Pekarangan Parkir DBKK, dan KK City Strongman 2023 pada Ahad di Pekarangan Parkir DBKK,” katanya.
Sementara itu, Abidin turut mengajak warga bandaraya Kota Kinabalu untuk terus memberikan sokongan kepada DBKK bukan sahaja kepada acara-acara yang dianjurkan malah usaha-usaha yang dilakukan oleh DBKK untuk merealisasikan visi Kota Kinabalu Sejahtera.
“Kepada semua pihak yang telah menyumbangkan tenaga, masa dan wang bagi menjayakan penganjuran festival ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa baik dan sokongan anda,” katanya. –SABAH MEDIA