SEPANG: Dua ekor anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Denti dan Frankie, menjadi sandaran misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.
Selain Denti dan Frankie, penghantaran pasukan penyelamat kedua dari Malaysia turut disertai 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota JPBM dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Ketua Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, Ismail Abd Ghani, berkata anjing pengesan dibawa bersama bagi memaksimumkan tugasan apabila berada di lokasi.
Dalam pada itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kedua-dua anjing itu dibawa bersama untuk memastikan pasukan penyelamat Malaysia dapat melaksanakan operasi SAR dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan ketika melaksanakan misi SAR, pasukan pertama SMART yang sudah tiba di Gaziantep berdepan beberapa cabaran agak besar iaitu cuaca ekstrem di lokasi bencana, koordinasi logistik dan pengangkutan serta faktor keselamatan geopolitik.
“Namun begitu, semangat seluruh anggota tetap tinggi dan cabaran dihadapi dapat ditangani dengan kerjasama Disaster and Emergency Management Presidency (AFAD) Turkiye.
“Saya harap rakyat Malaysia keseluruhannya mendoakan keselamatan dan kesihatan pasukan SMART supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya.
Isnin lalu, Malaysia menghantar pasukan SMART yang dianggotai 70 anggota ke Turkiye bagi membantu misi SAR mangsa gempa bumi di selatan Turkiye sebagai tanda solidariti.
Dalam pada itu, tiga pengamal media iaitu dua petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) iaitu Wartawan Meja Jenayah, Mohd Firdaus Md Saisi dan jurugambar Hairul Nizam Baharin serta jurukamera Radio Televisyen Malaysia, Mohd Adzam Jamaluddin, turut menyertai pasukan penyelamat kali ini untuk membuat liputan di kawasan bencana.
Mohd Firdaus berkata, meskipun ini kali pertama dihantar bertugas ke luar negara, beliau bertekad memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
“Saya teruja kerana ini kali pertama diberi peluang membuat liputan bencana di luar negara dan keadaan di sana difahamkan masih berisiko.
“Saya ditugaskan selama 10 hari bersama jurugambar dan kami akan memberikan liputan terbaik dan terkini mengenai keadaan di sana,” katanya