HomeUtamaMasalah Logistik - pergerakan pasukan penyelamat kedua ke ’Groud Zero’ terganggu

Masalah Logistik – pergerakan pasukan penyelamat kedua ke ’Groud Zero’ terganggu

Read Time:1 Minute, 36 Second

BERNAMA

GAZIANTEP: Pasukan penyelamat kedua Malaysia yang dihantar bagi membantu kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi Turkiye (MAS-10) yang tiba di Gaziantep pada petang semalam, masih tidak dapat memasuki ground zero akibat masalah logistik.

Kekangan itu disebabkan barangan kelengkapan untuk operasi SAR dan keperluan peribadi anggota terbabit yang dibawa dari Kuala Lumpur tidak sampai sepenuhnya di Lapangan Terbang Gazientep walaupun pasukan misi sudah tiba semalam, 5.50 petang (waktu tempatan).

Ketua pasukan MAS-10, Abdul Manaf Che Isa, berkata masalah berkenaan kemungkinan terjadi berikutan banyak agensi SAR dari negara luar tiba di Turkiye pada hari yang sama.

“Tapi Alhamdullilah, setakat jam 9.40 malam ini (waktu tempatan) 70 peratus barangan kita sudah sampai termasuk dua anjing pengesan iaitu Denti dan Frankie yang berada dalam keadaan baik,” katanya kepada Bernama dan RTM.

Abdul Manaf berkata, pasukan berkenaan akan bergerak ke Nurdagi kira-kira 45 kilometer di barat Gaziantep iaitu lokasi ditetapkan agensi bantuan bencana tempatan, sebaik semua barangan keperluan diperoleh.

MAS-10 adalah pasukan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang disertai 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) berlepas dari Kuala Lumpur pada Rabu malam lalu dan tiba di Istanbul 6 pagi, semalam.

Turut menyertai pasukan berkenaan, adalah dua petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan seorang petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pemerhatian Bernama di Lapangan Terbang Gazientep mendapati banyak agensi SAR luar negara yang tiba antaranya dari China, Tajikistan dan Russia.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut puluhan ribu nyawa.

Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular