HomeUtamaJKR, JPS mulakan kerja-kerja selenggara parit tersumbat di Penampang

JKR, JPS mulakan kerja-kerja selenggara parit tersumbat di Penampang

Read Time:1 Minute, 21 Second

PENAMPANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Penampang telah memulakan kerja-kerja penyelenggaraan parit dan pembentung tersumbat hari ini yang menjadi antara punca berlakunya banjir di beberapa kawasan di daerah ini, beberapa hari lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick turun padang meninjau kesan banjir di empat kampung di Penampang termasuk sebuah sekolah dan Klinik Desa.

Ahli Parlimen Penampang itu memulakan program turun padang meninjau kesan banjir di Sekolah Menengah (SM) St.Micheal Penampang, kemudiannya di Klinik Desa Kg.Babagon, Kg.Tomposik dan Kg.Tanaki.

Semalam, beliau meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang yang menempatkan beberapa keluarga mangsa banjir.

Semasa tinjauan Ewon di Kg.Nampasan, Kg.Tanaki dan Taman Gemilang pagi tadi, air banjir di kawasan itu masih belum surut.

“Terima kasih kepada syarikat konsesi di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana mengambil tindakan pantas hari ini, memulakan kerja-kerja menyelenggara culvert anak sungai yang tersumbat.

“Saya akan menggunakan peruntukan Ahli Parlimen untuk menyelenggara parit persendirian kawasan perumahan Taman Gemilang untuk membolehkan pengaliran air yang bertakung di kawasan itu,” katanya.

Ewon kemudiannya meninjau keadaan di Klinik Desa Kg.Babagon.

“JKR akan selenggara culvert jalan utama yang tersumbat. Saya juga akan menggunakan peruntukan Ahli Parlimen untuk menyimen kawasan perkarangan klinik yang rosak,” katanya.

Begitu juga dengan Kg.Tomposik, Ewon akan menggunakan peruntukan Ahli Parlimen untuk membersihkan timbunan pokok bambu yang menghalang laluan jambatan ke Kg.Kimoligan.

“Saya akan terus berkomunikasi dengan Pegawai Daerah Penampang untuk memastikan kerja-kerja mitigasi ini berjalan lancar,” katanya dan menambah Urusetia Pusat Khidmat Parlimen akan membantunya memantau keperluan dan permasalahan di lapangan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tandas bersih kriteria utama perbaharui lesen perniagaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular