Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU: Orang awam dinasihatkan untuk tidak memakan kerang-kerangan buat sementara waktu berikutan fenomena air merah atau Red Tide yang dikesan di perairan Tuaran.
Jabatan Perikanan Sabah semalam mengeluarkan notis amaran berhubung larangan memakan kerang-kerangan kepada umum.
Menerusi notis itu, fenomena itu adalah disebabkan peningkatan Alga Merah jenis Sel Pyrodinium bahamense yang agak tinggi, khususnya di perairan daerah berkenaan.
Notis itu turut memaklumkan, peningkatan alga berkenaan menyebabkan kerang-kerangan menjadi beracun dan boleh memudaratkan kesihatan awam.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, adalah dinasihatkan agar orang awam tidak memakan kerang-kerangan buat sementara waktu.
“Jabatan Perikanan Sabah akan memantau dari semasa ke semasa perkembangan fenomena Alga Merah ini sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Katanya, sebarang pertanyaan berhubung fenomena itu boleh diperolehi dengan menghubungi Kompleks Perikanan Likas di talian 088-428410, 088-428415-6 dan 088-425677 atau faksimili 088-425890.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat melalui Penguasa Perikanan Daerah di Pejabat Perikanan Daerah Kota Kinabalu Dan Tuaran melalui telefon bimbit 019-8620401(PPDKK) atau 012-8837723 (PPDTRN). – SABAH MEDIA