HomeUtamaShahelmey alu-alukan peruntukan RM20 bilion siapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan...

Shahelmey alu-alukan peruntukan RM20 bilion siapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya mengalu-alukan peruntukan RM20 bilion untuk menyiapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak yang telah diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Selaku Menteri Kerja Raya Negeri Sabah saya amat tertarik dengan ucapan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan bahawa sebanyak RM20 bilion diperuntukkan untuk menyiapkan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak.

“Kalau kita tahu Sarawak lebuh raya Pan Borneonya sudah hampir siap, jadi fasa satu di Sabah ini lagi yang memerlukan peruntukan untuk kita lengkapkan, justeru pengumuman yang dibuat semalam adalah satu yang amat dialu-alukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Perpaduan Perumahan Daerah Putatan dan Karnival Perpaduan Komuniti Gerak Rahmah: Jom Sihat daerah Putatan hari ini (25 Feb).

Shahelmey turut mengalu-alukan tentang usaha Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif yang ada di Malaysia ini pada perbahasan titah Duli Yang Amat Mulia Yang Dipertuan Agong tentang keperluan untuk Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembaikan sekolah-sekolah daif yang ada di Sabah.

“Seperti yang kita tahu di Sabah ada lebih 400 buah sekolah yang berada dalam keadaan daif dan kenyataan yang diumumkan semalam adalah sesuatu yang kita alu-alukan,” katanya.

Selain daripada sekolah daif, beliau turut menyambut baik usaha kerajaan menitikberatkan untuk memperbaiki klinik kesihatan yang usang khususnya di negeri Sabah. Ia juga termasuk dalam Bajet 2023.

“Begitu juga klinik-klinik kesihatan di Sabah yang banyak dalam keadaan usang dan uzur yang perlu kita pertingkatkan agar komuniti atau masyarakat kita sama ada di bandar, pinggir bandar dan juga luar bandar akan mendapat perkhidmatan yang baik dan selamat dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai Karnival Perpaduan Perumahan Daerah Putatan dan Karnival Perpaduan Komuniti Gerak Rahmah yang di adakan di perkarangan Dewan Sri Putatan pada Sabtu, Shahelmey berkata, Putatan merupakan sebuah daerah yang penuh dengan penduduk dari taman-taman perumahan mahupun di kampung-kampung, justeru program ini adalah untuk memberi penekanan kepada persefahaman dan perpaduan dalam masyarakat.

“Program ini adalah bertepatan dengan konsep Malaysia Madani yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan dengan tonggak kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“Oleh itu perpaduan adalah agenda yang penting sebagai pemangkin negara yang mampan makmur yang hadir melalui pembinaan komuniti rahmah melibatkan pengembelingan inisiatif agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), keluarga dan juga komuniti,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

China kekal sebagai rakan perniagaan penting Sabah

Mahkamah Kota Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular