HomePendapatBelanjawan 2023 : Sabah kekal mengharap

Belanjawan 2023 : Sabah kekal mengharap

Read Time:4 Minute, 24 Second

1. Semalam Menteri Kewangan Malaysia telah membentangkan Bajet 2023 di Parlimen, dengan tema Membangun Malaysia Madani. Ini merupakan bajet pertama di bawah Kerajaan Persekutuan yang baru selepas Pilihanraya Umum ke-15. Oleh kerana itu, bajet tersebut sememangnya di nanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat serta pihak berkepentingan, termasuklah – belia, usahawan, pelabur, pelajar, serta surirumah.

2. Di bawah Bajet 2023 tersebut, Sabah telah mendapat peruntukkan pembangunan sebanyak RM 6.5 billion. Ini merupakan peningkatan sebanyak RM 200 juta (3.1%), berbanding dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM 6.3 billion di bawah Bajet 2023 yang telah di bentangkan oleh kerajaan terdahulu pada Oktober 2022. Manakala, berbanding dengan Bajet 2022 berjumlah RM 5.16 billion untuk Sabah, ini merupakan peningkatan sebanyak RM 1.34 billion (26%).

3. Bajet 2023 ini menyediakan peruntukkan untuk pelaksanaan projek di Sabah yang merangkumi pelbagai aspek, termasuklah – pendidikan, kesihatan, infrastruktur, dan pengangkutan. Antaranya:

* RM 1 billion untuk membangunkan bandar-bandar bersempadan dengan

Kalimantan, Indonesia seperti Kalabakan, Sabah serta Ba’kelalan, Sarawak

* RM 2.5 billion untuk melaksanakan projek-projek prasarana awam untuk manfaat Sabah dan Sarawak melibatkan projek jalan dan lampu jalan serta bekalan air dan elektrik

* RM 30 juta untuk memperbanyakkan kemudahan klinik, bank dan mahkamah bergerak bagi memudahkan urusan rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak

* menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan SarawakSabah Link Road yang dianggarkan melibatkan kos keseluruhan RM 20 billion dengan jajaran lebih daripada 1,000 kilometer

* RM 150 juta bagi memperluas pelaksanaan Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) ke bandar Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu

* RM 209 juta untuk mensubsidi pengangkutan udara bagi rakyat pedalaman Sabah dan Sarawak

* RM 560 juta untuk membina tujuh sekolah baharu di Malaysia termasuk SMK Nabalu di Sabah

* RM 2.3 billion untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah yang daif khususnya di Sabah dan Sarawak.

4. Peningkatan peruntukkan bajet sebanyak 26% dari tahun 2022 untuk Sabah adalah keputusan yang baik dan tepat masanya. Ini langkah penting untuk memastikan hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan di tepati. Di bawah Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak mendapat geran sebanyak 40% daripada semua hasil yang di kutip oleh Kerajaan Persekutuan dari Sabah.

5. Ini bermakna, sekiranya Kerajaan Persekutuan mengutip RM 10 billion setahun dari hasil Sabah, maka Sabah berhak mendapat geran sebanyak RM 4 billion dari Kerajaan Persekutuan.

6. Pada pertengahan Disember 2022, Presiden Parti Cinta Sabah di laporkan media telah mengesa Kerajaan Persekutuan untuk mengutamakan pelaksanaan Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan tersebut. Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan tidak membayar hak kepada Sabah sejak 1973. Malah, menurut laporan media, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, menyatakan bahawa kadar pembayaran geran kepada Sabah hanyalah RM 26.7 juta sejak 1973.

7. Sebagai contoh. Pada tahun 2020, mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah adalah sebanyak RM 77.5 billion, iaitu menyumbang 5.8% kepada KDNK negara, serta merupakan negeri ke-6 tertinggi sumbangan KDNK. Sepintas lalu, ini membayangkan bahawa Sabah berhak mendapat peruntukkan yang lebih besar di bawah bajet tahunan Kerajaan Persekutuan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

8. Kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi peruntukkan Perlembagaan Persekutuan tersebut telah menyebabkan pembangunan negeri Sabah terbantut dan jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Sabah kini menghadapi empat isu utama serangkai – ramai rakyat miskin, kadar pengganguran tinggi, pertumbuhan ekonomi yang lembap, serta jurang pendapatan yang besar antara kaya dan miskin.

9. Walaupun kaya dengan hasil bumi seperti minyak dan gas, balak serta kelapa sawit, Sabah merupakan antara negeri yang termiskin di Malaysia. Mengikut data DOSM, pada tahun 2020, Sabah mencatatkan peratusan kemiskinan mutlak/ hardcore poverty yang tertinggi di Malaysia iaitu 25.3%, jauh lebih tinggi dari peratusan negara pada kadar 8.4%. Ini bermakna 1 daripada 4 isi rumah Sabah adalah miskin!

10. Manakala, data DOSM untuk tahun 2019 menunjukkan bahawa 8 daripada 26 daerah pentadbiran Sabah mencatatkan jumlah kemiskinan mutlak melebihi 30%. Manakala daerah Tongod dan Pitas mencatatkan jumlah kemiskinan mutlak melebihi 50%.

11. Kemiskinan Mutlak adalah situasi di mana pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas hidup iaitu – makanan, tempat perlindungan dan pakaian.

12. Tambahan lagi, Sabah menghadapi situasi agihan pendapatan yang tidak sama-rata atau seimbang. Pada tahun 2019, Pekali Gini Sabah ialah 0.397, tertinggi di Malaysia.

13. Cabaran Sabah lebih meruncing dengan pertumbuhan ekonomi yang lembap iaitu: 2018 (1.5%), 2019 (0.7%), 2020 (-9.2%) dan 2021 (1.1%). Pada masa yang sama, kadar pengganguran di Sabah juga tinggi dan terus meningkat iaitu: 2018 (5.8%), 2019 (5.8%), 2020 (8.0%) dan 2021 (9.0%).

14. Semasa pembentangan Bajet 2023 semalam, Menteri Kewangan ada menyatakan bahawa pada tahun lepas, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah mencapai persetujuan interim untuk pemberian khas tertakluk kepada rundingan bagi formula baharu.

15. Namun begitu, pembayaran geran oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan wajar mengambil kira pembayaran geran tertunggak semenjak 50 tahun dahulu. Sepanjang tempoh tersebut, rakyat Sabah telah menderita dengan kualiti hidup yang serba kekurangan. Sejarah ini mesti di perbetul agar generasi akan datang dapat menikmati hasil kekayaan bumi Sabah.

16. Maka, harapan rakyat Sabah ialah agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah dapat segera memuktamadkan formula baharu tersebut yang memenuhi hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan. Tiada masa lagi untuk disia-siakan. Pastikan harapan menjadi kenyataan.

Oleh:
AA
25 Februari 2023

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya