KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob mahu kerajaan memandang serius dan mengambil tindakan secepat mungkin berhubung dengan isu tuntutan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap negeri Sabah.
Dr Yusof berkata, beliau amat risau keadaan penduduk khususnya rakyat tempatan di Sabah sekiranya isu ini berlarutan dan terlalu lama mencari jalan penyelesaiannya. Walaupun isu kedaulatan Sabah tidak terjejas dan tuntutan waris kesultanan Sulu tersebut berbentuk tuntutan komersial, tetapi ia tetap perlu diselesaikan sehingga tiada lagi sebarang isu ditimbulkan.
“Kami penduduk di sini sebagai medan pertikaian isu ini, mungkin isu ini tidak begitu dirasai di Semenanjung kerana berada di 1900 kilometer berada di situ, kami di sini berada di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah ESSCOM hanya 15 minit kalau daripada Tawi-Tawi, Filipina untuk sampai ke Lahad Datu melalui perairan antarabangsa, jadi itulah yang berlaku pada tahun 2013 masa krisis pencerobohan di Tanduo.
“Kita naik bot, dayung sampan, naik rakit pun sudah sampai, sudah tentu kita tahu kita ada ESSCOM, yang dapat menjaga keselamatan sempada tapi apakah tindakan selanjutnya daripada kerajaan demi untuk kesejahteraan kita di sini sebagai rakyat Malaysia,” katanya semasa sesi taklimat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi mengenai Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu bersama Kerajaan Negeri Sabah dan ahli komuniti Sabah di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu pada Rabu.
Dr Yusof yang juga pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berpendapat bahawa isu itu turut memberi kesan kepada generasi muda di negeri ini.
“Sebenarnya ia memberi kesan kepada generasi muda, kegelisahan ini dikaitkan sebagai satu yang tidak asing bagi mereka dan sudah tentu sekali ia mimpi ngeri yang mungkin jadi kenyataan suatu hari nanti jikalau perkara ini tidak diselesaikan.
“Saya kesian orang-orang muda, orang-orang kampung yang tinggal di sini yang menerima tekanan ini jadi saya mahu kerajaan ambil tindakan yang drastik,” tegasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau turut menyarankan supaya kerajaan meneliti status warga asing yang tinggal di negeri ini.
“Di Sabah kita biarkan stateless people, kita biarkan orang menyusup masuk, manakala di Pulau Gaya kita tengok kita tidak tahu siapa mereka di sana kita mesti pastikan satu-satu, kita tidak tahu berapa ramai mereka di Sabah, apa yang berlaku di Bosnia, jiran boleh bunuh jiran, rakan boleh bunuh rakan, dan saya harap ini tidak akan berlaku di Sabah,” ujarnya.
Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang & Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan dari Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan wakil Sekretariat Khas iaitu YBhg Prof Datuk Dr Sundra Rajoo dan Datuk Feroz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Taklimat sama juga telah dibincangkan bersama-sama dengan Ahli-ahli Parlimen dari Blok Kerajaan dan Blok Pembangkang untuk menerangkan mengenai latar belakang melibatkan isu tuntutan ini dan perkembangan berkaitan tindakan undang-undang di empat bidang kuasa iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.
Selain itu, taklimat ini juga bertujuan mendapatkan pandangan daripada warga Sabah yang terkesan secara langsung.