HomeUtamaSabah perkasa modal insan, fokus generasi muda luar bandar

Sabah perkasa modal insan, fokus generasi muda luar bandar

Read Time:2 Minute, 2 Second

RANAU: Kerajaan Negeri Sabah terus memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk penyediaan bantuan pendidikan dan biasiswa, sokongan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Beliau berkata, ia termasuklah usaha memperluas akses pendidikan terutama di kawasan luar bandar.

“Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan setiap anak Sabah mempunyai peluang yang adil untuk berjaya tanpa mengira latar belakang,” katanya

Beliau berkata demikian sempena Festival Akademik Tingkatan 6 dan Program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh Ranau. 

Teks ucapan beliau dibaca oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Johari Suhaimin.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, kejayaan inisiatif tersebut tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada institusi pendidikan, penglibatan mahasiswa serta kesungguhan para pelajar sendiri,

Tambahnya, pendekatan bersepadu antara semua pihak adalah penting bagi memastikan setiap peluang yang disediakan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran dan memberi impak yang berterusan.

“Program seperti ini merupakan contoh kerjasama berkesan antara semua pihak, khususnya dalam merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan komuniti setempat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Masidi turut menekankan kepentingan fasa Tingkatan Enam sebagai asas penting dalam pembentukan masa depan pelajar. Tempoh tersebut bukan sekadar persediaan menghadapi peperiksaan, malah merupakan peringkat untuk membina asas pemikiran, disiplin serta hala tuju kehidupan.

“Dalam tempoh ini, keupayaan membuat keputusan, mengurus masa dan menetapkan matlamat hidup mula dibentuk secara lebih tersusun. Pelajar juga mula mengenali kekuatan dan kelemahan diri serta berusaha memperbaikinya secara berterusan,” katanya.

Oleh itu, beliau turut menggalakkan pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang program tersebut bagi mendapatkan pendedahan berkaitan laluan selepas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), termasuk pilihan pendidikan tinggi dan peluang biasiswa.

Beliau berkata, pelajar tidak seharusnya ragu untuk bertanya, mencuba serta meneroka peluang yang ada kerana setiap pengalaman akan membantu dalam membuat keputusan yang lebih tepat pada masa hadapan.

“Keputusan yang dibuat dalam tempoh ini akan memberi kesan kepada langkah seterusnya dalam kehidupan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Masidi turut merakamkan penghargaan kepada penganjur Persatuan Mahasiswa/i Sabah UKM (PERMIS) serta mahasiswa yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program tersebut.

Menurut beliau, penglibatan dalam aktiviti bersama komuniti merupakan satu pengalaman yang amat berharga kerana bukan sahaja menyumbang kepada masyarakat, malah membentuk kemahiran insaniah yang penting.

“Pengalaman ini membantu membina kemahiran kepimpinan, komunikasi serta empati dalam kalangan mahasiswa, sekali gus melahirkan generasi masa depan yang lebih seimbang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki larikan Hilux selepas kemalangan dipenjara 14 bulan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular