HomeUtamaJIM Sabah: 542 tahanan warga Filipina dihantar pulang hari ini

JIM Sabah: 542 tahanan warga Filipina dihantar pulang hari ini

Read Time:1 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) telah menghantar pulang seramai 542 orang tahanan warganegara Filipina menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri 8 bagi tahun 2023 melalui Pelabuhan Sandakan Ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina hari ini.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tahanan yang dihantar pulang pada hari ini terdiri daripada tahanan lelaki 422 orang, 92 (perempuan), kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah 24 orang dan kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah seramai empat orang.

“Jumlah pecahan mengikut jantina bagi kanak-kanak dalam pemindahan kali ini adalah melibatkan empat orang kanak-kanak 23 bulan ke bawah. Bagi tahanan dewasa purata umur adalah dari 13 tahun sehingga 78 tahun.

“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa / penjaga masing-masing. Kesemua tahanan dipindahkan melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Sitti Saleha, tahanan PATI yang terlibat pada kali ini hanyalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Tawau sahaja.

“Kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Negeri Sabah, Malaysia) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini. Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” tegasnya.

Beliau berkata, operasi pemindahan ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah. Jabatan ini ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pemindahan ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah, pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, PDRM, ESSCOM, Lembaga Pelabuhan Dan Dermaga Negeri Sabah, Jabatan Laut Malaysia Negeri Sabah, APMM, ATB2, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Negeri Sabah.

“JIM Negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular