HomeUtamaUSIA, IKDAR bakal meterai MoU bangunkan pusat TVET untuk lepasan Maahad Tahfiz

USIA, IKDAR bakal meterai MoU bangunkan pusat TVET untuk lepasan Maahad Tahfiz

Read Time:1 Minute, 42 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Pusat latihan vokasional dan teknik (TVET) yang pertama untuk lepasan Maahad Tahfiz di negeri ini akan diwujudkan menerusi satu pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).

Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad  berkata, MoU itu dijangka akan dimeterai antara USIA dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) yang bertapak di Perak  selepas sambutan Aidilfitri.

Katanya, MoU yang akan dilaksanakan itu juga adalah sebagai tanda komitmen kerjasama kedua-dua pihak untuk penubuhan pusat kemahiran khas itu di negeri ini.

“Kita sudah mengenal pasti lokasi untuk pusat berkenaan iaitu di Kota Marudu dimana kita akan menggunakan bangunan Pusat Latihan Dakwah Al-Bukhary – USIA di Kampung Marasinsim yang sudah hampir siap.

“MoU itu sepatutnya diadakan hari ini (semalam) sempena Majlis Iftar USIA tetapi pihak IKDAR meminta agar ia diadakan selepas sambutan Aidilfitri nanti supaya MoU itu  lebih kemas dan teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar USIA di sini petang semalam.

Sapawi berkata, pihaknya juga akan menyiapkan sebahagian kemudahan yang belum tersedia terutama sekali elektrik, bekalan air dan kemudahan jalan di persekitaran selain asrama.

Katanya, bangunan tersebut pada ketika ini berada pada 70 peratus siap namun persiapan terakhir termasuk pagar perlu dilaksanakan kerana bangunan itu berada jauh di sempadan daerah Kota Marudu dengan Pitas.

Majlis itu diadakan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi USIA bagi membincangkan perancangan yang dilaksanakan melalui pelan strategik digariskan badan bukan kerajaan (NGO) Islam itu.

Sapawi berkata, kerja penyiapan akhir bangunan sumbangan tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary itu yang dijangka bermula selepas Aidilfitri akan dilakukan USIA menggunakan dana sumbangan kerajaan negeri membabitkan peruntukan kira-kira RM3 juta.

“Kerajaan negeri melihat ini sesuatu yang wajar diberi bantuan terutama sekali ia memberikan asas yang kukuh kepada program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam membangunkan bidang pendidikan vokasional.

“Ia juga memberi peluang kepada pelajar Maahad Tahfiz meningkatkan kelayakan akademik dan kemahiran termasuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain mengambil kursus diploma hingga seterusnya jika mendapat kecemerlangan dalam pendidikan vokasional,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Large Scale Solar Menawarkan ‘Value for Money’ untuk Bekalan Elektrik Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular