HomeUtamaHajiji yakin ekonomi Sabah dapat dipulih & diperhebat

Hajiji yakin ekonomi Sabah dapat dipulih & diperhebat

Read Time:2 Minute, 39 Second

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yakin ekonomi negeri Sabah dapat dipulih dan diperhebatkan lagi pertumbuhannya di bawah Pelan
Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, ini agar kemajuan yang holistik dapat dilaksanakan oleh Kerajaan demi
pembangunan yang lebih inklusif, seimbang dan saksama.

“Saya yakin, kerajaan ini berkemampuan untuk melakukan perubahan, mengurangkan
kadar pengangguran, membasmi kemiskinan dan sudah tentu memberikan keselesaan hidup kepada seluruh rakyat, insya Allah!”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Ramadan Peringkat Daerah Tuaran Tahun 1444H/2023M di Masjid An-Nur Daerah Tuaran, hari ini.

Hajiji berkata, dalam keadaan ekonomi negeri dan negara masih dalam proses pemulihan akibat pandemik tiga tahun lalu, Sabah sangat bernasib baik kerana masih mampu merekodkan pencapaian tertinggi dalam kutipan hasil negeri.

Menurutnya, kejayaan membanggakan itu adalah hasil daripada kerja keras serta kesungguhan di pihak Kerajaan Negeri yang turut dibantu oleh anggota penjawat awam, yang komited dalam membangunkan negeri yang tercinta ini.

“Kita tetap akan bekerja keras, berusaha dan terus berusaha untuk terus memperkukuhkan kewangan negeri sesuai dengan dasar Hala Tuju SMJ.

“Untuk itu, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan dasar dan polisi yang kukuh serta mesra pelabur, bertujuan untuk menarik lebih ramai pelabur datang dan membuat pelaburan di negeri ini.

“Apabila bilangan pelabur bertambah, maka akan bertambah jugalah spin-off effects-nya terhadap ekonomi negeri, lantaran peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan akan terbuka luas untuk direbut oleh anak-anak tempatan”, tegasnya.

Hajiji berkata, sejak negara bergelut dengan pandemik COVID-19 sehingga tahun lalu, kerajaan negeri telah meluluskan kemasukan pelaburan daripada sektor ekonomi bernilai RM11.5 bilion melibatkan 89 buah projek yang dapat menjana 4,566 peluang pekerjaan.

Menurutnya, dengan tambahan projek Keluli Hijau Bersepadu (integrated green steel) bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang telah ditandatangani pada bulan November tahun lalu, termasuk beberapa lagi projek pelaburan yang kini sedang dalam proses untuk dilaksanakan, Sabah akan memperoleh jumlah pelaburan langsung asing dan domestik berjumlah RM33.4 bilion.

Beliau menegaskan, membela hidup rakyat merupakan antara agenda besar kerajaan, sama ada di peringkat negeri mahu pun di peringkat pusat.

Katanya, kerajaan sememangnya amat prihatin dan mengambil berat tentang apa jua isu yang berkaitan dengan bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), golongan asnaf dan mualaf.

Justeru katanya, dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, selain menunaikan ibadah puasa kita juga sangat dituntut untumemperbanyakkan amal sedekah dan membantu golongan yang memerlukan.

“Selain sumbangan bantuan oleh kerajaan, saya amat menggalakkan mana-mana agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan mahupun syarikat swasta dan badan bukan kerajaan untuk menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Ini bagi membolehkan mereka bersama-sama menikmati perayaan ini sama seperti orang lain.

“Penganjuran Majlis Berbuka Puasa pada hari ini dengan seramai 200 orang akan menerima bantuan, juga membuktikan keprihatinan dan rasa tanggungjawab kerajaan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik mengurangkan beban pengurusan perbelanjaan dan menyambut Syawal dengan rasa penuh kegembiraan dan keceriaan”, tambahnya.

Menjelang Hari Raya Aidilfitri, Hajiji menyeru kepada rakyat agar sentiasa mengamalkan sikap bersederhana dalam berbelanja agar tidak berlaku pembaziran.

“Dengan berjimat cermat, ia akan memperkukuhkan ekonomi keluarga dan sebagai persiapan untuk keperluan masa akan datang, seperti pendidikan anak-anak”, tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pam rosak, paip pecah punca gangguan air di Putatan dan sekitar...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular