RANAU: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menyantuni seramai 45 orang Kanak-Kanak Yatim Piatu tinggal di Rumah Anak Yatim (RAY) Kampung Silad terletak 15 kilometer dari pekan Ranau semalam.
Kunjungan Datuk Jonathan ke RAY itu adalah, untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak berkenaan, turut dihadiri kakitangan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau.
Sempena kunjungannya itu, Datuk Jonathan menyampaikan sumbangan RM5,500 (RM100 seorang kepada 45 orang anak dan RM1,000 (satu ribu) lagi untuk RAY manakala RM10 ribu akan disalurkan kepada RAY apabila dana Fasa 2 Parlimen dapat diperoleh tahun ini.
Pengurus RAY, Ustaz Mohd Hainin @ Gentala mewakili RAY merakam penghargaan dan terima kasih atas sumbangan Datuk Jonathan menyantuni anak-anak tidak ‘beribu dan tidak berbapa’ di RAY berkenaan.
“Dengan sumbangan itu sedikit-sebanyak telah membantu meringankan beban anak-anak di sini dan RAY seluruhnya”, ujarnya.
Jonathan dalam pada itu mengharapkan kepada anak-anak yang tinggal di Rumah Anak Yatim itu, supaya tidak berasa tersisih dalam masyarakat kerana masih ada yang sayang dengan mereka.
“Jangan berasa tersisih atau terpinggir oleh masyarakat sebab masih ramai insan yang menyayangi mereka”, jelas Datuk Jonathan sambil mengharapkan kepada pengurusan/penjaga RAY supaya bersabar menghadapi karenah pelbagai anak-anak di bawah jagaan, asuhan dan didikannya itu.
“Berilah mereka kasih sayang, asuhan akhlak yang terbaik, didikan agama serta pendidikan akademik sebaik mungkin bagi membolehkan mereka menjadi insan yang berguna kepada masyarakat, bangsa dan negara pada masa akan datang”, tambahnya.
Pada masa yang sama Jonathan merakamkan penghargaan kepada Ustaz Mohd Hainin dan pengurusan RAY Kg Silad kerana RAY telah ditadbir dengan sangat baik.
Beliau turut mengucapkan selamat menyambut hari lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi.