Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Autoriti Penerbangan Awam Borneo (BCAA) perlu diwujudkan bagi tujuan mengawal selia dan menjaga industri penerbangan di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, dengan pewujudan BCAA itu akan dapat menjaga kepentingan Sabah, Sarawak dan rakyat Malaysia yang pergi dan balik ke negeri-negeri Borneo dengan lebih baik.
“Dengan pengetahuan yang lebih baik tentang keadaan tempatan dan pemahaman tentang keperluan Sabah dan Sarawak, BCAA berupaya membina dorongan yang diperlukan untuk memudahkan industri penerbangan mencapai tahap yang lebih tinggi.
“Dalam jangka panjang, BCAA boleh memanfaatkan bukan sahaja negeri ini tetapi juga industri penerbangan negara secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Saranan dan gesaan bagi menubuhkan BCAA itu adalah selepas wujud perbalahan yang berterusan mengenai isu tambang penerbangan yang tinggi khususnya ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.
Jeffrey berkata, ia bukan sahaja menyerlahkan tambang penerbangan yang tinggi, mahal dan tidak munasabah untuk kedua-dua sektor malah turut mendedahkan masalah sistematik yang berpuluh tahun mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat Sabah, Sarawak dalam perjalanan udara.
Katanya, perjalanan udara seharusnya tidak membebankan kerana ia adalah satu-satunya pilihan yang berdaya maju untuk orang Borneo.
Beliau berkata, perjalanan udara sangat penting terutamanya kepada Sabah dan Sarawak kerana pelancongan antarabangsa adalah sektor utama ekonomi kedua-dua negeri.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu adalah lapangan terbang kedua terbesar dan kedua tersibuk di Malaysia, dan merupakan hab serantau bagi banyak syarikat penerbangan dengan penerbangan terus antarabangsa.
“Masa untuk menyediakan BCAA juga tepat sekarang kerana Sarawak juga ingin menubuhkan syarikat penerbangan butik,” katanya. – SABAH MEDIA