Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Kemeriahan dan kegembiraan rakyat Malaysia meraikan Hari Raya Aidilfitri turut dirasakan penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu walau berbeza suasana berada disebalik tirai besi yang memisahkan kehidupan dengan dunia luar.
Seramai lapan orang penghuni PWKK diberi kebenaran untuk meraikan bersama-sama keluarga secara bersemuka sempena sambutan Program Jalinan Kasih Hari Raya dan Kaamatan Peringkat Penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu Tahun 2023 di Dewan Sekolah Integriti Wanita PWKK di sini hari ini.
Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu Kesumawati Ilas berkata, lapan penghuni yang terpilih adalah warganegara Malaysia, lulus fasa orientasi dan sahsiah diri dengan markah lebih 90 peratus serta berkelakuan baik.
“Tujuan kami melaksanakan program ini adalah supaya hubungan silaturrahim antara keluarga penghuni tetap terjalin walaupun mereka berada di sini dan memberi keyakinan diri kepada penghuni setelah keluar dari penjara nanti,” katanya ketika ditemui pemberita semasa majlis itu.
Dalam majlis itu, seorang penghuni Zila (bukan nama sebenar) berusia 34 tahun yang telah insaf berkongsi cerita katanya, sebelum dimasukkan ke PWKK, dia tidak serik setelah sembilan kali tertangkap dan dimasukkan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok, Kelantan.
Zila berkata, selepas 13 tahun kemudian, dia kembali terjebak pada tahun 2020 dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu dan menjualnya di Kampung Air, Kota Kinabalu. Dan ini adalah kali pertama dia menjadi banduan di PWKK.
“Ini kali yang ke sepuluh saya tertangkap, sembilan kali saya dimasukkan di PUSPEN Bachok, Kelantan kerana menagih dadah dan sekarang di PWKK atas tiga kesalahan kes memiliki, menagih dan menjual dadah. Saya menerima hukuman sekali gus lima tahun penjara di PWKK,” katanya.
Zila turut meluahkan rasa sedih dan terkilan kerana keluarganya tidak dapat hadir bersama-sama meraikan majlis Hari Raya hari ini disebabkan bapanya menjalani rawatan dialisis di hospital.
Manakala Wida (bukan nama sebenar) kelihatan sangat sedih kerana selepas dua tahun berada di tirai besi PWKK baru hari ini bertemu dengan bapanya dari Lawas, Sarawak.
“Ya saya sangat sedih dan saya insaf dengan kesalahan saya, saya bersyukur kerana bapa saya sanggup hadir ke majlis ini dari Lawas untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama saya,” katanya.
Wida yang berusia 33 tahun dikenakan hukuman di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah menggelapkan wang sejumlah RM700,000 dari sebuah syarikat kontraktor di Kota Kinabalu pada tahun 2021.
Katanya, dia pada ketika itu bekerja di syarikat berkenaan sebagai kerani kewangan.
“Kesalahan saya dikesan kerana juru audit syarikat berkenaan telah mendapati wang tersebut telah hilang dan mahkamah telah mensabitkan kesalahan saya, saya menerima hukuman enam tahun penjara di PWKK bermula 2021 hingga 2025 dan ditambah setahun penjara kerana tidak dapat membayar denda,” katanya.
Terdahulu majlis dirasmikan oleh Pengerusi Yayasan Kebajikan Suria Datuk Raya Erom.
Selain jamuan makan, persembahan tarian etnik Sabah, pertandingan Unduk Ngadau dan Dekorasi Kek, turut memeriahkan majlis dengan kehadiran dua penyanyi Akademi Fantasia Farhan dan Ewal.