Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Ibu kepada pelajar A, salah seorang daripada lima pelajar yang berdepan pertuduhan mencela Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Kanak-Kanak, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau pernah diganggu oleh ibu Zara melalui WhatsApp.
Saksi berusia 42 tahun itu berkata, gangguan tersebut berlaku apabila ibu Zara, Noraidah Lamat, memarahinya kerana membenarkan pelajar A bercakap benar kepada pihak polis.
“Ibu Zara pernah mengganggu saya dengan menghantar WhatsApp memarahi saya kerana membenarkan pelajar A bercakap benar kepada polis.
“Ibu Zara menyuruh kami membuat penafian terhadap kenyataan pelajar A sebelum ini kepada polis dan beliau menyuruh saya menghubungi pegawai tersebut,” katanya ketika membacakan kenyataan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurut saksi, antara tuduhan yang dikemukakan oleh ibu Zara melalui mesej WhatsApp termasuk dakwaan bahawa kenyataan pelajar A diputar belit, polis berkomplot dengan pengetua, serta arahan untuk membuat penafian kepada polis.
Saksi turut memaklumkan bahawa ibu Zara juga mempertikaikan kesahihan tulisan diari, termasuk tidak mempercayai perkataan kesat ditulis oleh Zara, selain mendakwa pengesahan forensik menunjukkan tulisan tersebut bukan tulisan Zara.
Selain itu, saksi berkata ibu Zara menuduh pihak sekolah cuba mewujudkan bukti palsu, mendakwa pelajar A menurut arahan sekolah, serta mengharamkan pelajar A daripada menziarahi kubur Zara.
“Saya ada memaklumkan kepada pegawai penyiasat dan Ustaz Azhari berkenaan gangguan tersebut,” katanya.
Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat untuk menggesa siasatan dijalankan terhadap ibu Zara.
Terdahulu dalam kenyataan saksinya, saksi berkata beliau mengetahui kejadian yang menimpa Zara selepas dimaklumkan oleh ibu kepada seorang pelajar pada 16 Julai 2025, kira-kira jam 8.39 pagi, melalui talian aplikasi WhatsApp.
Saksi juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau ada menghubungi ibu Zara untuk bertanyakan khabar serta mendapatkan kepastian mengenai kejadian yang menimpa Zara, selain menasihatinya supaya bertenang, bersabar dan berhati-hati ketika memandu.
Beliau turut menyarankan agar ibu Zara memperbanyakkan selawat dan beristighfar untuk melegakan hati yang tidak tenteram.
“Saya agak terkejut dan respek pada beliau kerana suara beliau dalam keadaan biasa dan tenang itu yang saya bertanyakan betulkah Zara jatuh bangunan. Kadang- kadang suaranya kendengaran sedih tetapi tidak meraung.
“Saya menghubungi beliau berkali-kali, hampir setiap jam, kerana bimbang beliau memandu seorang diri dari Sipitang ke Kota Kinabalu dalam keadaan sedih.
“Saya perasan beliau sampai di hospital agak lama, mungkin kerana membawa kereta perlahan dan faktor kesesakkan lalu lintas,” katanya.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMKA Tun Datu Mustapha sekitar jam 3 pagi pada 16 Julai, 2025 dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Pada 20 Ogos, 2025, lima pelajar termasuk pelajar A, yang identitinya tidak boleh didedahkan di bawah Akta Kanak-Kanak, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencela Zara.
Pasukan peguam yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, ialah Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Peguam bagi bapa Zara, Mahathir Mohd Hashim, ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Peguam bagi pelajar A ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala peguam bagi empat lagi remaja lain ialah Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.
Pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.



