KOTA KINABALU: Ibu kepada Pelajar A sebak ketika menceritakan tekanan hebat yang diterima daripada netizen, khususnya pada minggu anaknya didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak.
Saksi pendakwaan ke-62 itu berkata, maklumat peribadi anaknya juga viral di media sosial.
“Pada minggu pelajar A dituduh, kami menerima tekanan yang hebat daripada netizen.
“Nama serta butirannya menjadi viral dan disebut-sebut dalam media sosial oleh netizen. Orang ramai mencari-cari keberadaan pelajar A sehingga setiap perjalanan kami diketahui orang ramai.
“Dalam tempoh ini pelajar A terus mendapat kecaman orang ramai sehingga sekarang dan ada yang lebih teruk lagi menggelarnya sebagai pembunuh,” katanya dengan suara sebak semasa membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Saksi turut berkata kenyataan seorang staf sekolah, iaitu pengawal keselamatan dikenali sebagai Aunty Linah, yang mendakwa Pelajar A tidak mengalami trauma kerana membuat isyarat ‘peace’, telah mengundang kecaman netizen.
“Aunty Linah telah salah bagitahu Mahkamah yang saya ada hadir ke asrama pada malam 17 Julai 2025 untuk mengambil pelajar A.
“Pada malam tersebut (17 Julai 2025) saya hanya menelefon warden Cikgu Fatimah untuk bertanyakan boleh atau tidak sekiranya pada malam tersebut kami ingin mengambil pelajar A dan jawapan yang diberikan adalah tidak boleh,” katanya.
Saksi juga berkata beliau teramat kesal apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawap terhadap pelajar A dengan mengeksplotasikan gambar pelajar A dan Zara secara berlebihan.
“Saya percaya gambar yang di viral viral itu ada diantara pihak saya dan pihak satu lagi. Saya menganggap perbuatan tersebut adalah perbuatan jahat yang berniat memperjudikan masa depan anak saya,” katanya.
Saksi juga berasa kesal apapbila kenyataan pelajar A pada polis dibocorkan dan menuduh pelajar A mereka-reka cerita.
“Statement-statement ini adalah apa yang diluah oleh arwah Zara kepada pelajar A sebagai tempat luahan yang tebaik untuk dia. Segala apa yang pelajar A lihat semua diceritakan pada polis. Pelajar A tidak pernah mengkhianati Zara.
“Pelajar A ikhlas berkawan dengan Zara dan saya redho akan persahabatan itu. Tetapi ada pihak yang takut akan statement ini dan memaksa saya mengubahnya. Kesannya anak saya diheret ke pertuduhan, maruah anak dipijak di maki-maki, dituduh pelbagai tohmahan.
“Malah sehingga ke hari ini pelajar A di dituduh sebagai pembunuh di sekolah barunya. Menitik air mata pelajar A bila mana dia menceritakan kejadian itu….Mereka suka pada cerita yang menipu dan direka, takut akan kebenaran,” katanya.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMKA Tun Datu Mustapha sekitar jam 3 pagi pada 16 Julai, 2025 dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Pada 20 Ogos, 2025, lima pelajar termasuk pelajar A, yang identitinya tidak boleh didedahkan di bawah Akta Kanak-Kanak, didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas pertuduhan mencela Zara.
Kelima-lima pelajar mengaku tidak bersalah dan perbicaraan kes ini masih berlangsung.



