HomeUtamaDUN Sabah : Ahli lembaga pengarah, pengurusan GLC digesa laksana tadbir urus...

DUN Sabah : Ahli lembaga pengarah, pengurusan GLC digesa laksana tadbir urus yang baik

Read Time:1 Minute, 26 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Semua ahli lembaga pengarah dan pengurusan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) digesa untuk melipatgandakan usaha,  beramanah, berintegriti dan melaksanakan tadbir urus dengan baik dalam syarikat.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahirudin berkata, ini adalah bagi memastikan tujuan asal iaitu prinsip meningkatkan ‘shareholders wealth’ berlaku dan dividen yang diberikan kepada pelabur iaitu Kerajaan Negeri dapat diberikan dengan angka yang sewajarnya. 

“Sebahagian hasil Kerajaan datangnya dari pelaburan dalam GLC. Terimaan dividen pada tahun lalu yang berjumlah RM152 juta menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding tahun 2021 dengan kutipan sebanyak RM116.35 juta. 

“Saya yakin angka ini boleh ditingkatkan lagi berdasarkan potensi sedia ada.  Saya menggesa agar semua ahli lembaga pengarah dan pengurusan GLC supaya melipatgandakan usaha, beramanah, berintegriti dan melaksanakan tadbir urus baik dalam syarikat,” katanya.

Tun Juhar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kerajaan Negeri sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang ke-16 di DUN Sabah di sini hari ini.

Katanya, adalah penting untuk memastikan setiap organisasi sentiasa berada dalam landasan yang betul ke arah mencapai objektif penubuhan dan menjana pulangan hasil kepada Kerajaan negeri.

Tambahnya, ia adalah bagi memperkasa peranan dan tanggungjawab serta meningkatkan prestasi badan berkanun dan agensi awam.

“Untuk itu, latihan dan kursus kepada Ahli Lembaga Pengarah akan dibuat secara berterusan sebagai salah satu usaha untuk memastikan badan berkanun dan agensi awam sentiasa relevan, berdaya maju dan mempunyai hala tuju ke arah merealisasikan dasar dan polisi kerajaan.

“Kerajaan Negeri akan terus memastikan penambahan ekuiti dalam pelaburan sektor-sektor berpotensi melalui agensi awam yang akan memberi pulangan serta hasil yang tinggi dalam bentuk dividen dan sumbangan sebagai pulangan kepada Kerajaan Negeri,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

DBKK benarkan Taman Perdana Tanjung Aru beroperasi semula

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular