HomeUtamaSabah sentiasa sokong program bercirikan kebudayaan, kemasyarakatan

Sabah sentiasa sokong program bercirikan kebudayaan, kemasyarakatan

Read Time:1 Minute, 52 Second

Penampang : Kerajaan Negeri sentiasa memberikan sokongan kepada program yang bercirikan kebudayaan dan kemasyarakatan khususnya di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, menerusi program itu ianya berupaya mengeratkan silaturahim, menyatupadukan rakyat dan memperteguhkan hubungan masyarakat demi kesejahteraan dan keharmonian negeri.  

“Dalam konteks Pesta Kaamatan, meski pun ia disambut oleh masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) tetapi perayaan ini turut dimeriahkan oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini. 

“Amalan kongsi raya atau pesta kebudayaan oleh semua kaum merupakan keunikan kita di Sabah yang harus dipertahankan sejajar dengan konsep Malaysia Madani,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutupan Sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah 2023 di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di sini hari ini.

Majlis penutupan Pesta Kaamatan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. 

Hadir sama isterinya, Toh Puan Norlidah R.M Jasni dan Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Hajiji berkata, pihaknya turut mengajak semua pihak untuk bersama-sama memelihara dan meningkatkan lagi perpaduan, toleransi dan semangat kekitaan yang tinggi sesuai dengan tema pesta Kaamatan pada tahun ini iaitu ‘Kaamatan Membudayakan Perpaduan’. 

“Tema ini sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang matlamatnya ke arah membentuk sebuah negara bangsa yang sejahtera, maju dan progresif; politik dan ekonominya teguh, kerajaan yang adil lagi saksama, serta negara yang makmur dan sentosa,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, hanya dengan kestabilan dan perpaduan sahajalah yang mampu membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke hadapan, sekali gus dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa.  

Katanya, perpaduan dan kepelbagaian suku kaum, budaya serta kepercayaan agama di Sabah adalah aset penting yang perlu terus dipelihara dan dipertahankan oleh rakyat negeri ini pada setiap masa.  

“Keharmonian serta warna-warni seni budaya di negeri ini menjadikan Sabah unik dan istimewa, di samping memiliki keindahan alam semula jadi yang pastinya berupaya menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negara. 

“Justeru, Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha memelihara dan menjaga khazanah budaya yang kita warisi ini, disamping memastikan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang kini berada di landasan yang tepat, berjalan seiring antara kemajuan dan pemodenan dengan penerapan nilai-nilai budaya yang tinggi,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Rumah atas air roboh, 9 mangsa berjaya diselamatkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular