HomeUtamaJawatankuasa Kerja dibentuk laksana pemutihan rumah PPR kendalian LPPB

Jawatankuasa Kerja dibentuk laksana pemutihan rumah PPR kendalian LPPB

Read Time:1 Minute, 59 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Satu Jawatankuasa Kerja akan dibentuk bagi melaksanakan langkah-langkah pemutihan di rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) kendalian Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, jawatankuasa itu adalah bagi menentusahkan status kelayakan para penyewa yang layak selain mereka yang benar-benar memerlukan rumah penginapan.

Katanya, ini juga bagi mengelakkan mereka mencari keuntungan daripada penyewaan rumah PPR khususnya amalan ‘sewa atas sewa’ selain dapat memberi peluang kepada pemohon yang masih menunggu peluang selepas ianya dikosongkan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam

“Ekoran daripada isu surat pekeliling mengenai pengosongan rumah PPR kendalian LPPB, Jemaah Menteri Negeri Sabah dalam mesyuaratnya semalam telah mengambil maklum mengenai Garis Panduan Penyewaan Rumah Program Perumahan Rakyat bagi Negeri Sabah, yang telah dikeluarkan  pihak kementerian.

“Garis panduan itu juga telah berkuatkuasa sejak tahun 2012, di mana tempoh maksima yang dibenarkan bagi setiap keluarga menyewa di PPR adalah selama 10 tahun.

“Walaubagaimanapun, kepada para penyewa yang masih layak dan ingin meneruskan penyewaan selepas tempoh 10 tahun, ianya boleh dipertimbangkan untuk pelanjutan oleh LPPB, dengan persetujuan daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata,surat pekeliling daripada LPPB bertarikh 19 Jun 2023 mengarahkan para penyewa yang telah melebihi tempoh 10 tahun untuk mengosongkan rumah PPR mereka.

Katanya, surat itu hanya terpakai kepada para penyewa yang telah hilang kelayakan untuk terus menduduki rumah PPR tersebut dan pihak kementerian serta LPPB amat mengesali segala kesulitan yang timbul daripada ketidaktepatan kandungan surat pekeliling tersebut.

“Mengikut Dasar Peruntukan Rumah Kos Rendah Untuk Disewakan Negeri Sabah yang telah berkuatkuasa sejak tahun 2018, antara kriteria yang boleh menyebabkan seseorang penyewa kehilangan kelayakan untuk terus menyewa di rumah PPR kendalian LPPB ini ialah menduduki rumah tersebut secara sewa atas sewa.

“Selain itu, mereka yang mempunyai pendapatan melebihi RM3,000; penyewa atau pasangan telah mempunyai rumah sendiri; penyewa yang menjadikan rumah sebagai persinggahan/stor mereka; penyewa menjadikan rumah sebagai ‘homestay’ dan/atau penyewa yang mempunyai tunggakan sewa,” katanya.

Dalam pada itu, Joachim berkata, pihaknya juga menerimapakai saranan Ketua Menteri Sabah untuk memperuntukkan sebahagian rumah PPR kendalian LPPB kepada para graduan baharu sebagai tempat tinggal sementara atau ‘transit home’.

Katanya, ianya adalah bagi digunakan sementara mereka berikhtiar mendapat pekerjaan dan mampu menyewa atau memiliki rumah kediaman mereka sendiri. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Warga emas wanita rentung dalam kebakaran rumah di Kg Muhibbah, Ranau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular