HomeIsu tempatanProgram komuniti pelajar , beri inspirasi anak yatim capai impian ke menara...

Program komuniti pelajar , beri inspirasi anak yatim capai impian ke menara gading

Read Time:1 Minute, 37 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Program Komuniti Prihatin oleh sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Rumah Anak Yatim As-Sakinah Papar di sini baru-baru ini mampu meningkatkan motivasi dan memberi inspirasi kepada penghuni rumah tersebut untuk mencapai impian mereka melanjutkan pengajian sehingga ke menara gading. 

Program anjuran Kelab Society of Petroleum Engineers (SPE) UMS Student Chapter itu antara lain bertujuan untuk merapatkan hubungan antara komuniti dengan pelajar-pelajar kelab SPE UMS Student Chapter serta syarikat yang terlibat dalam menjayakan program tersebut. 

Selain itu, program tersebut turut menjadi platform utama bagi syarikat-syarikat minyak dan gas tempatan serta pelajar kelab SPE UMS Student Chapter memperkenalkan kewujudan industri minyak dan gas di Malaysia.

Pengerusi Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Nasaruddin Mohammad @ MD Said berkata, program sedemikian amat penting untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Penganjuran program komuniti seperti ini adalah salah satu langkah untuk membuka mata orang luar untuk membantu mereka yang memerlukan sekali gus memberi impak yang baik kepada anak-anak di rumah anak yatim itu. 

“Kedatangan para pelajar dari UMS ini pastinya dapat memberi inspirasi kepada anak-anak di Rumah Anak Yatim As-Sakinah ini terutama sekali dalam membuka minda mereka untuk meneruskan pengajian mereka hingga ke menara gading,” katanya ketika menyempurnakan perasmian program tersebut. 

Nasaruddin turut memaklumkan, terdapat 32 orang anak-anak yang sedang berada di bawah jagaan mereka dan empat orang daripada mereka baru sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

“Untuk empat anak yang baru selesai menduduki SPM ini, pihak kami akan mengusahakan perjalanan seterusnya untuk mereka dalam meneruskan pengajian mereka sama ada ke universiti, diploma mengikut kelayakan mereka,” katanya.

Selain empat anak tersebut, seramai 28 orang penghuni daripada Rumah Anak Yatim As-Sakinah merupakan pelajar tahun dua sehingga tingkatan lima. 

Program yang dijayakan 16 orang ahli kelab SPE UMS Student Chapter itu turut dihadiri pensyarah FPEP, Dr Norsuhadat Nordin selaku pensyarah pengiring bagi program tersebut. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 300 orang hadir program PeKa B40

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular