Kota Kinabalu: Seramai 130 peserta dari serata negara hadir menyertai Persidangan Annual Pediatric Ophthalmology Conference – Borneo Ophthalmology Updates (APOC-BOU) 2023, baru-baru ini.
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) itu dianjurkan FPSK Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS).
Ketua Jabatan Oftalmologi FPSK, Prof. Dr. Shuaibah Ab Ghani berkata, program tahunan itu bertujuan membincangkan cabaran serta perkembangan terkini dalam bidang Oftalmologi terutamanya berkaitan rawatan penyakit mata dalam kalangan kanak-kanak.
“Sesi praktikal (bengkel) juga dijalankan pada hari kedua persidangan bagi meningkatkan kemahiran peserta dalam pemeriksaan mata juling (ortoptik).
“Menarik pada persidangan kali ini adalah satu sesi pembedahan penyakit ptosis yang disiarkan secara langsung di HWKKS Likas pada hari ketiga persidangan,” katanya.
Dr. Shuaibah yang juga pakar oftalmologi kanak-kanak berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Majlis perasmian persidangan tersebut disempurnakan Dekan FPSK UMS, Prof Dr. Mohammad Saffree Jeffree.
Dalam ucapannya, Dr. Safree merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana memberi kepercayaan kepada pihaknya sebagai tuan rumah pada penganjuran kali ini.
“Ini merupakan kali pertama acara tahunan ini dianjurkan di FPSK UMS dengan kerjasama Jabatan Pediatrik Oftalmologi HWKKS dan Jabatan Oftalmologi Hospital Queen Elizabeth.
“Saya mengharapkan kerjasama yang baik antara UMS dan KKM ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA