HomeUtamaPenduduk Lahad Datu lega Malaysia menang kes tuntutan Sulu

Penduduk Lahad Datu lega Malaysia menang kes tuntutan Sulu

Read Time:2 Minute, 36 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Lahad Datu: Kemenangan bersejarah yang diperoleh Malaysia dalam kes tuntutan kumpulan Sulu baru-baru ini, memberi keyakinan kepada penduduk di sini bahawa kerajaan Persekutuan berterusan memastikan cubaan kumpulan itu untuk mengganggu gugat kedaulatan negara digagalkan.

Ahli Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Remang di Tungku, di sini, Juliana Binjin, 49, berkata keputusan Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda yang menolak permohonan kumpulan Sulu itu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di Belanda, membuka mata dunia bahawa tuntutan berkenaan langsung tidak berasas.

https://afc18dfb73c74aceaa3956e281a859fb.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-40/html/container.html “Tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu itu memberi kekeliruan kepada masyarakat di sini dan kita harap kerajaan Malaysia teruskan usaha menangani isu kumpulan Sulu ini,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, penduduk Lahad Datu terkesan dan trauma dengan tragedi pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, membawa kepada pertempuran pada 1 Mac 2013 di Kampung Tanduo mengakibatkan 10 wira negara terbunuh dan 68 pengganas Sulu maut.

Kumpulan itu menggelar diri mereka Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara, dan konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.

Sementara itu Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tungku, Momen Angchai berkata, rakyat perlu bersatu hati dalam memastikan sebarang tuntutan kumpulan Sulu itu digagalkan.

“Kemenangan kita di mahkamah itu melegakan, terima kasih kepada Perdana Menteri dan pemimpin terbabit kerana memandang serius tentang hal ini.

“Ketika ini soal keselamatan di Dewan Undangan Negeri Tungku tidak merisaukan jika dibandingkan pada tahun 2014 setahun selepas tragedi itu (pencerobohan) di mana penduduk kampung berasa trauma dan aktiviti sosio-ekonomi lumpuh,” katanya.

Momen dalam pada itu berharap, kerajaan dapat mempercepatkan pembinaan Kem Tentera di Felda Sahabat seperti yang pernah diumumkan kerajaan Persekutuan sebelum ini, dalam usaha menjamin keselamatan di kawasan tersebut.

“Adanya kem ini bukan sahaja penduduk dan pelancong berasa selamat, musuh juga berasa gentar untuk mengganggu gugat keselamatan kita,” katanya.

Penduduk Kampung Tamoi, Mohd Nor Mansor Abdul Majid, 46, turut gembira dengan keputusan itu namun pada masa sama berasa bimbang sekiranya kejadian tragedi Tanduo pada 2013 itu berulang.

“Mungkin kumpulan ini berasa tidak puas hati dengan kekalahan dan cuba sekali lagi untuk menceroboh masuk ke daerah ini,” katanya.

Pada 22 Jun lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah terkawal dan akan sentiasa mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di sempadan negeri itu.

“Kita tidak nampak tanda-tanda atau kesan sebarang ancaman setakat ini…dari segi kawalan sempadan, kita hendak memberi jaminan pihak anggota keselamatan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya mengulas mengenai kebarangkalian kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu akan menceroboh Sabah, selepas gagal dalam tuntutan undang-undang terhadap Malaysia.

Pada 6 Jun, Malaysia melakar kejayaan bersejarah selepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa seorang penimbang tara Sepanyol pada 25 Mei 2020, dalam kes tuntutan kumpulan Sulu.

Malaysia sekali lagi memperoleh kemenangan apabila keputusan Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda pada 27 Jun juga memihak kepada negara ini. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Inisiatif bangunkan sukan tinju di Sabah terus disokong

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular