HomeSukanJurulatih mahu Dek Wan 'pecut' lebih awal ke Paris

Jurulatih mahu Dek Wan ‘pecut’ lebih awal ke Paris

Read Time:1 Minute, 48 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur: Juara Sukan Paralimpik 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi diharapkan dapat menempah slot lebih awal dalam acara 100 meter (m) T36 (kecacatan fizikal), pada edisi 2024 di Paris, Perancis.

Bagi merealisasikan misi berkenaan, jurulatih pecut para negara, Hamberi Mahat menyasarkan Mohamad Ridzuan atau lebih dikenali ‘Dek Wan’, untuk mara ke final dan menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia berlangsung di Paris dari 8 sehingga 17 Julai ini.

“Dek Wan perlu dapatkan empat terbaik di kejohanan dunia nanti, kerana pelari yang berada dalam kedudukan itu layak secara automatik ke Sukan Paralimpik 2024.

“Strategi ketika ini ialah bagi memastikan beliau layak awal kerana jika beliau berjaya lakukannya, saya boleh fokus buat persiapan awal untuknya menjelang Paris 2024,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hamberi juga menetapkan sasaran kepada atlet veteran berusia 35 tahun itu untuk merekodkan 12.20 saat (s) pada kejohanan dunia berkenaan.

“Jika Mohamad Ridzuan dapat catat 12.20s, tak mustahil pingat gangsa dalam tangan,” katanya.

Sekiranya gagal menepati sasaran di kejohanan dunia itu, Hamberi berkata Mohamad Ridzuan masih berpeluang untuk mengesahkan slot automatik ke Paris 2024, dengan mendapat kedudukan dua teratas pada final di Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China, bermula 22 sehingga 28 Oktober ini.

Bagaimanapun, bekas atlet olahraga kebangsaan itu menjangkakan tugas getir menanti anak buahnya untuk mempertahankan emas dimenangi di Sukan Para Asia 2018 di Indonesia atau sekurang-kurangnya merangkul perak di China.

Beliau berkata, Mohamad Ridzuan dijadual berdepan tentangan sengit dari dua wakil tuan rumah iaitu juara bertahan Sukan Paralimpik, Deng Peicheng dan Yang Yifei, yang muncul pelari terpantas Asia tahun ini dengan catatan 11.84s dalam satu kejohanan di Nottwil, Switzerland, Mei lepas.

Sementara itu, jurulatih berusia 45 tahun mengakui Mohamad Ridzuan mengalami kesukaran dalam mengadaptasi teknik latihan dilakukannya, dalam usaha meningkatkan daya pecutan pelari itu.

“Saya ada cuba lakukan latihan tanpa blok permulaan yang berupaya meningkatkan kepantasannya namun Dek Wan agak sukar adaptasinya. Sejak bulan Februari lagi kami lakukan video analisis dan kenal pasti masalah ini,” katanya.

Justeru, beliau terpaksa mengubah semula corak latihan dan membenarkan Mohamad Ridzuan berlatih dengan blok permulaan memandangkan atlet terbabit lebih selesa dengan situasi berkenaan. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Luar negaraSukan

Sepanyol dinobat juara Euro kali keempat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular