TUARAN: Sebuah bot yang membawa 14 pelancong Korea dan dua jurumudi, tersangkut di pokok nipah akibat daripada arus sungai yang kuat dalam kejadian di Sungai Bolong malam tadi (6 Julai).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.50 malam tadi.
“Sepasukan bomba tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah bot pelancong tersangkut di pokok nipah akibat daripada arus sungai yang kuat.
“Terdapat 14 orang pelancong Korea iaitu sembilan perempuan dewasa, empat lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki serta dua orang jurumudi di dalam bot tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pasukan bomba bertindak memindahkan kesemua pelancong dan jurumudi ke tebing sungai dengan menggunakan bot orang kampung dan seterusnya diserahkan kepada syarikat pelancongan yang bertanggungjawab membawa pelancong tersebut untuk tindakan selanjutnya.
“Bagaimanapun kesemua mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat. Setelah memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 12.57 tengah malam,” katanya.