Beaufort : Program dan aktiviti berbentuk pembangunan rohani perlu terus diperkasakan dan diperluas kepada segenap lapisan masyarakat khususnya di negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, usaha murni ini bukan sekadar terletak di bahu agensi Agama Islam Negeri namun ianya usaha semua pihak dalam memastikan syiar Islam akan terus berkembang di Sabah.
“Program pembudayaan dan penghayatan Al-Quran boleh dilaksanakan di agensi-agensi kerajaan dalam usaha kita menghayati dan memahami ilmu dan pengajaran daripada kitab suci Al-Quran.
“Al-Quran melalui ayat sucinya juga mengajak dan menyeru manusia untuk membaca kerana perbuatan membaca itu merupakan wasilah dalam menjadikan manusia berilmu dan memajukan tamadun manusia.
“Bahkan, dengan tingginya ilmu seseorang itu, akan meninggikan darjat dan memuliakannya daripada manusia lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Penerapan Nilai-Nilai Murni peringkat negeri Sabah kali ke-34 2023 di sini hari ini.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pihaknya turut menyeru kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan anak-anak supaya menjadikan Al-Quran sebagai bacaan, amalan dan akhlak.
Katanya, ini sekali gus akan menjadikan semua pihak khususnya umat Islam berjaya dan cemerlang dalam membina tamadun manusia di dalam redha Allah SWT.
“Penganjuran Seminar Pemantapan Nilai-Nilai Murni ini dilaksanakan saban tahun di peringkat Zon dan Negeri sebagai medan untuk meninggikan syiar Islam melalui pembudayaan Al-Quran.
“Tahniah dan Syabas kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bersama Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS), yang sentiasa komited untuk membangunkan syiar Islam di Negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA.