KOTA KINABALU: Melepaskan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma pada dua tahun lalu bukan penamat untuk Evaoemicca Kawat menjejakkan kaki ke menara gading.
Berkat kerja keras, bimbingan guru serta dorongan ibu bapa, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau II yang berada di pedalaman Sabah itu berjaya membuktikan keputusannya menolak tawaran diploma dan masuk ke tingkatan 6 adalah pilihan yang tepat.
Evaoemicca muncul sebagai salah seorang daripada 75 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 negeri Sabah yang diumumkan semalam.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, hasrat untuk menjadi guru bakal tercapai kerana Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 yang dicapai membolehkan dia melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam.
“Saya berhasrat untuk menjadi guru dan itu sebabnya saya berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh PNGK yang baik. Saya ingin melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya.
Menurutnya, bersekolah di pedalaman bukan bermakna dia tidak mampu mencipta kejayaan untuk muncul sebagai pelajar cemerlang sama seperti pelajar bersekolah di bandar.
Anak kepada bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini mahu menjadi seorang pendidik bagi mendidik lebih ramai anak-anak di pedalaman Sabah untuk berjaya dalam pelajaran.
Hanya melalui pendidikan sahaja, taraf hidup keluarga mampu diubah ke arah yang lebih baik.
Sementara itu, Sharul Rafy dari SMK Bugaya, Semporna yang turut tersenarai sebagai pelajar cemerlang STPM 2022 berkata, dia tidak menyangka dapat memperoleh PNGK 4.0 kerana beliau tidak pernah memperoleh keputusan sebegitu sejak berada di semester satu.
Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, kesusahan hidup keluarga mendorongnya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.
Katanya, jerih perih bapanya yang hanya bekerja di bahagian penyelenggaraan di sebuah resort di Semporna mampu dibalas dengan kejayaan anak-anak dalam pelajaran.
“Tiada yang dapat kami balas selain menghadiahkan iba bapa dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang.
“Selepas ini, saya rancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang mahupun di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Sharul berkata, dia rasa bersyukur kerana pengangkutan dari Semporna ke Kota Kinabalu disediakan oleh guru. Jika tidak, dia pasti tidak dapat menghadiri majlis pengumuman berkenaan.
Jelasnya, agak sukar untuk datang sendiri kerana perbelanjaan untuk kos tambang dari Semporna ke Kota Kinabalu dan kos penginapan bukannya murah.