HomeUtamaManfaat sebaiknya bantuan untuk lebih tekun meneruskan pembelajaran - Hajiji

Manfaat sebaiknya bantuan untuk lebih tekun meneruskan pembelajaran – Hajiji

Read Time:2 Minute, 57 Second

Kota Kinabalu: Sebanyak RM12 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi membantu 1,600 buah sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di Sabah dibawah program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sekolah-sekolah berkenaan akan menerima bantuan berupa  kelengkapan seperti Komputer, LCD Projektor, Printer, Smart TV, Penghawa Dingin dan Pembesar Suara Mudah alih yang diberikan secara berperingkat. 

Katanya, BISBAH merupakan antara inisiatif bantuan-bantuan pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi memperkasakan prestasi pendidikan di negeri ini. 

“Ini selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan pembangunan modal insan merupakan antara agenda utama yang diberi penekanan oleh Kerajaan Negeri,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif. 

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM 7.5 juta kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM, STPM dan STAM dengan bayaran sebanyak RM 200 seorang melalui Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), dengan mensasarkan seramai 38,000 orang pelajar dari kalangan keluarga B40 dan M40. 

“Kerajaan Negeri juga memandang serius terhadap keperluan kewangan yang dihadapi oleh golongan B40 terutama bagi membiayai pendaftaran melanjutkan pelajaran anak-anak ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Justeru, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI) telah diperkenalkan pada tahun lalu dan diteruskan lagi tahun ini. 

“Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) berjumlah RM1 juta kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang akan dikreditkan kepada penerima yang layak melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),”katanya.

Katanya, Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) yang diperkenalkan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM 4 juta untuk membantu membaiki kerosakan dan menyelenggara yang melibatkan kos dibawah RM50,000 dan ke bawah. 

Beliau berkata, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) mensasarkan pelajar Sabah dari golongan e-kasih yang sedang belajar di IPT dan tidak berkemampuan untuk membeli komputer bagi tujuan pembelajaran juga diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk sasaran 1,000 komputer riba. 

Menurut Hajiji, komitmen lain kerajaan negeri termasuklah Bantuan Khas Program Pendidikan  (BANTU) dengan peruntukan sebanyak RM 500,000 dan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) turut dilancarkan  untuk pelajar Sabah di dalam dan luar negara. 

“Peruntukan sebanyak RM 500,000 juga telah diperuntukkan untuk Persatuan Pelajar Sabah yang berdaftar di bawah SEMESTA untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti persatuan,”katanya.

Beliau berharap semua intensif bantuan pendidikan yang telah disediakan Kerajaan Negeri dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua penerima, sekaligus  dapat menyuntik semangat mereka untuk lebih tekun dalam meneruskan pembelajaran dan seterusnya melakar kejayaan yang cemerlang pada masa akan datang.  

Sementara itu Hajiji berkata, Human Capital Development Blue Print for Sabah (2021-2035) telah disediakan bagi memastikan sukatan pelajaran, ilmu kemahiran dan kepakaran belia serta modal insan, sentiasa kekal relevan, selain menjadi garis panduan bagi program pembangunan modal insan secara holistik di negeri ini.  

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program latihan kemahiran termasuk TVET yang relevan dengan keperluan industri semasa dan menambah baik kemudahan dan alat bantuan latihan di institut-institut latihan di bawah agensi-agensi kerajaan di negeri ini.  

“Bidang pendidikan sentiasa diberikan keutamaan oleh kerajaan. Ini kerana pendidikan penting untuk mengubah nasib anak bangsa. Anak-anak muda yang ada pada masa kini perlu terhindar daripada terjerumus dengan idealogi yang sempit dan merosakkan minda.

“Mereka perlu dilahirkan dengan pemikiran yang berdaya saing serta sentiasa berlumba-luma untuk mengejar kecemerlangan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Sabah: Isu Ketelusan dan Kebimbangan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular