HomeUtamaLima penjawat awam didakwa di mahkamah melibatkan kes tuntutan palsu

Lima penjawat awam didakwa di mahkamah melibatkan kes tuntutan palsu

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Lima penjawat awam didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini kerana membuat tuntutan palsu berhubung kos perpindahan ke pelbagai daerah membabitkan RM61,500.

Mereka ialah Rozidah Samudin, 52, Myron Masing, 40, Alif Abdul Fatah, 35, Mohd Effendi Awang Damit, 31, dan Ady Said, 38.

Kesemua mereka bertugas di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah (JPBW) Sabah.

Rozidah menghadapi dua pertuduhan manakala empat lelaki tersebut masing-masing satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) Akta yang sama 2009.

Ady bagaimanapun menghadapi lima lagi pertuduhan bersubahat dengan empat tertuduh dalam melakukan kesalahan itu.

Mereka mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga.

Dalam kes Rozidah, dia didakwa menyerahkan resit syarikat pengangkutan untuk penghantaran barangan rumah dan kenderaan yang berkaitan dengan tugas rasminya. Namun, perkhidmatan itu tidak pernah diberikan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di JPBW di sini pada 2 Oktober 2017 bernilai RM17, 100, dan pada 5 September 2019 bernilai RM17, 000.

Myron dan Mohd Effendi masing-masing didakwa melakukan kesalahan sama pada 8 Sept 2020 membabitkan RM6,250.

Sementara Alif, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 Ogos 2019 membabitkan RM8, 480.

Dalam kes Ady, pertuduhan pertama menyatakan dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan RM6,450 pada 8 Sept 2020.

Bagi pertuduhan kedua hingga keenam, Ady didakwa bersubahat dengan Rozidah, Myron, Alif, dan Mohd Effendi dalam membuat tuntutan palsu masing-masing antara 2017 dan 2020.

Pertuduhan, mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 18 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Hakim menetapkan tarikh yang sama pada 15 Ogos untuk semua tertuduh.

Setiap tertuduh turut diikat jamin antara RM10,000 dan RM15,000 dengan deposit antara RM3,000 dan RM4,000 di bawah penjamin tempatan.

Mahkamah turut memerintahkan mereka melaporkan diri di pejabat SPRM dua bulan sekali. Pasport masing-masing diperintahkan untuk diserahkan kepada mahkamah dan mereka diarah tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sementara menunggu penyelesaian kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi dan Rekhraj Singh untuk SPRM.

Rozidah diwakili peguam Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain manakala Alif diwakili peguam Yannik Mohd Anuar dan Lim Chun Yuan.

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia rakam takziah, simpati pada Iran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular