KOTA KINABALU: Seramai 143 penumpang dari Xi’an, China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 3 pagi Selasa dengan menaiki penerbangan carter oleh Zhejiang Loong Air dari Republik Rakyat China.
Menyambut ketibaan mereka ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Tay Shu Lan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata beliau turut mengalu-alukan kedatangan pengunjung China yang melawat Sabah dengan pakej 5 hari – 4 malam.
“Melalui Zhejiang Loong Air, kami membuka satu lagi pintu kepada rakyat dari China untuk melawat kawasan tumpuan pelancongan kami, dan meneroka peluang perniagaan atau pelaburan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Christina gembira mengetahui syarikat penerbangan itu akan mengendalikan penerbangan carter terus dari Xi’an ke Kota Kinabalu tiga kali seminggu sehingga 30 Ogos ini dengan menggunakan pesawat Airbus 320.
Dalam lawatan kerjanya ke China baru-baru ini, Christina telah bertemu dengan Naib Datuk Bandar Xi’an, Meng Yao untuk menghidupkan semula kerjasama pelancongan dua hala dan pertukaran budaya.