Tawau : Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) telah membelanjakan sebanyak RM30.7 juta bagi melaksanakan program dan naik taraf infrastuktur di keseluruhan kawasan LKTNS di pantai timur Sabah.
Pengurus Besar LKTNS Syaheddrul R Joddari berkata, selain itu sebanyak RM12.2 juta peruntukan turut dibelanjakan bagi kawasan Ladang Apas Balung dan Merotai.
Katanya, ia adalah merangkumi pakej ransangan ekonomi, naik taraf jalan ladang sedia ada, program pembekalan baja, penternakan kambing, pembinaan dan baik pulih rumah pekerja yang memberi manfaat kepada 255 peneroka bagi kawasan seluas 1,244ha.
“Adalah dimaklumkan bahawa, kita telah membina sebanyak 14 buah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada tahun ini melibatkan kawasan Ladang Apas Balung iaitu sebanyak lima buah dan sembilan di Ladang Merotai.
“Ekoran prestasi yang cemerlang LKTNS dalam melaksanakan PPRT bagi para peneroka dan pesertanya, maka tahun ini akan lebih banyak peruntukkan telah diberikan oleh Kementerian Kemajuan Desa dam Wilayah bagi tujuan yang sama dan bakal juga melibatkan golongan miskin tegar senarai e-kasih yang bukan terdiri daripada para peneroka dan peserta LKTNS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri Program Hari Muhibbah bersama Peneroka dan Peserta LKTNS di sini baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi LKTNS Datuk Abd Ghani Mohamed Yasin; Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung Datuk Hamild Awang.
Syaheddrul berkata, pendapatan peneroka Apas Balung pada tahun lalu bagi tabungan ialah sebanyak RM2.8 juta dan sara hidup sebanyak RM6.8 juta dan di Ladang Merotai pula adalah sebanyak RM1.54 bagi tabungan dan RM3 juta untuk sara hidup.
Kataya, purata pendapatan bulanan bagi tahun lalu untuk peneroka Ladang Apas Balung seramai 199 orang adalah sebanyak RM4,035 sebulan seorang.
“Manakala peneroka Ladang Merotai pula adalah sebanyak RM6,884 sebulan seorang bagi seramai 56 orang peneroka,” katanya.
Sementara itu, Syaheddrul berkata, program Hari Muhibbah yang dilaksankana itu merupakan platform untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan dan sumbangan peneroka tanah dalam pembangunan ekonomi dan sosial Negeri Sabah.
“Ini juga dapat membantu masyarakat menyedari pentingnya pelestarian dan pemajuan sektor pertanian dan perladangan.
“Melalui pertukaran maklumat dan pengetahuan, majlis ini memberi peluang kepada peneroka tanah dan peserta LKTNS untuk belajar dan berkongsi pengalaman serta kecekapan terbaik dalam bidang pertanian, perladangan, dan pengurusan sumber tanah
Sementara itu, LKTNS telah menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Agro Bank dan penyerahan mock kad pelan perlindungan takaful khas (insurans) kepada peneroka dan peserta LKTNS.
“Ini merupakan salah satu langkah yang diambil oleh pihak LKTNS kerana prihatin terhadap kebajikan peneroka dan peserta yang terlibat,” katanya. – SABAH MEDIA