Oleh NORMIMIE DIUN
PUTATAN: Lori-lori air yang mengenakan caj yang terlalu tinggi dengan menjual bekalan air bersih kepada pengguna yang terjejas akan diambil tindakan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, beliau sedang mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkara itu daripada pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) .
“Saya sedang mendapatkan maklumat yang lengkap daripada Jabatan Air berkenaan dengan senario lori-lori air yang membekalkan air kepada individu-individu ataupun kepada pihak-pihak peniaga dan saya difahamkan mereka dikenakan caj yang agak tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Tapak Projek Cadangan Menaiktaraf dan Membaikpulih Mini Stadium Majlis Daerah Putatan di sini hari ini.
Menurut Shahelmey, sepatutnya pihak berkenaan tidak mengenakan caj yang begitu tinggi sekali kepada pengguna.
“Sebenarnya lori-lori air ini sepatutnya mereka tidak mengenakan caj yang begitu tinggi sekali, mereka beli air di depo air Gaya Park untuk kegunaan mereka ataupun kegunaan contohnya untuk tapak pembinaan ataupun premis kerajaan tetapi maklum balas yang sedang kita kumpul dan kita terima adalah ada sebilangan daripada mereka yang mengambil keuntungan besar.
“Saya mendapat makluman mengenai perkara itu tetapi belum dapat secara black and white (hitam putih) dakwaan ada lori yang mengenakan caj RM14 setiap meter padu air, ada juga caj sehingga RM28 setiap meter padu air, walhal jumlah yang mereka beli dari depo air Gaya Park adalah RM3 setiap meter padu air.
“Jadi ini adalah satu perkara yang memeranjatkan kita. Justeru kita sedang mendapatkan laporan dan melihat bagaimana ianya boleh dikawal, jadi berbalik kepada soalan bagaimana ianya dihentikan atau tidak, ini kita cuba kurangkan.
“Sebenarnya penjualan tadi kita benarkan untuk tujuan kecemasan dan juga penggunaan di mana tempat yang tidak ada bekalan air terawat tetapi nampaknya ia tidak dapat dikawal.
“Kita akan menyiasat dan hentikan kegiatan itu dengan syarat beri saya sedikit masa untuk mendapatkan maklumat yang betul mengenai perkara tersebut, dengan itu saya boleh mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani masalah itu,” tegasnya.
Mengulas lanjut mengenai peruntukan RM320 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu bekalan air di Sabah, Shahelmey berkata, setakat ini Kerajaan Negeri belum menerima peruntukan tersebut.
“Peruntukan RM320 juta yang diumumkan itu belum diterima, petang ini (26 Julai) kami ada Mesyuarat Kabinet Negeri, kami akan bincang perkara ini dan bagaimana kita boleh teruskan kerana kita tidak boleh tunggu dan lihat sahaja, tindakan segera mesti diambil untuk menangani masalah bekalan air di Pantai Barat Sabah ini,” jelasnya.