HomeUtamaKerajaan sentiasa usaha tingkat tahap penyertaan wanita dalam pelbagai bidang

Kerajaan sentiasa usaha tingkat tahap penyertaan wanita dalam pelbagai bidang

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap penyertaan wanita khususnya dalam dunia politik, ekonomi dan sosial di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata, penglibatan wanita pada tahap 30 peratus menerusi aspek itu adalah wajar kerana kejayaan sesebuah negara ada golongan wanita yang hebat di dalamnya.

Katanya, golongan wanita di Sabah ramai yang mempunyai personaliti yang baik, berpendidikan dan berketrampilan serta mampu memimpin sesebuah organisasi mahupun parti. 

“Maka inisiatif seperti ini sangat baik dan perlu diteruskan demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di masa hadapan. Justeru, atas kesedaran tersebut kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap penyertaan wanita terutama dalam dunia politik, ekonomi dan sosial di negeri ini. 

“Kerajaan juga sentiasa menggalakkan lebih ramai kaum wanita menceburi bidang-bidang yang lebih mencabar seperti dalam membuat keputusan dan juga menjadi seorang pemimpin yang berwawasan serta berilmu. 

“Oleh itu dengan adanya platform seperti penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWAN) ini dapat memberi impak yang positif dalam kemajuan kepimpinan seorang wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kursus Pertengahan (Intermediate) Kepimpinan Wanita Bagi Pemimpin Government Link-Companies di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng.

James berkata, pihaknya percaya bahawa melalui usaha ini dapat melahirkan lebih ramai lagi wanita yang berkebolehan dan berdaya saing seiring dengan perkembangan dunia digital globalisasi dan akhirnya membawa kepada kesejahteraan hidup masyarakat terutamanya di negeri Sabah.

“Saya percaya bahawa agenda memperkasakan wanita merupakan tanggungjawab bersama semua pihak dan bukan hanya dipikul oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sahaja bahkan Kementerian saya sendiri, Kementerian Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat akan mengambil berat tentang perjuangan ini. 

“Dalam hal ini, saya ingin memuji peranan serta inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Akademi Kepimpinan Wanita (AKWan) dibawah Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dalam membantu membangun, memperkasa, mengiktiraf kebolehan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara,” katanya.

Dalam pada itu, James berkata, pemerkasaan wanita akan terus menjadi salah satu agenda penting negara. 

Katanya,  keperluan untuk membangunkan kemahiran-kemahiran mereka adalah penting terutamanya dalam bidang kepimpinan seperti teknik dan kemahiran berkomunikasi. 

“Justeru, saya menyeru agar perspektif wanita sentiasa diambil kira dalam penggubalan dasar dan perancangan program bagi memastikan wanita mendapat ruang dan peluang yang adil dalam pembangunan negara,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

400 pelajar sertai Program Smart Jawab SPM 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular