KOTA KINABALU: Sejumlah RM668 juta telah dibelanjakan oleh Kumpulan Yayasan Sabah (YS), sebuah badan berkanun Kerajaan Negeri dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi yang memberi manfaat kepada seramai 41,221 orang pelajar Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, ini termasuklah pemberian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) sehingga kini, seramai 715 orang pelajar telah mendapat manfaat dari program itu yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM124.4 juta.
“Semua itu dilakukan demi memberikan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang
memerlukan untuk memastikan mereka dapat mengakses pendidikan yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha pada Selasa.
Menurut Hajiji, para penerima ABCNS merupakan aset masa depan dan mempunyai peranan penting dalam memacu pembangunan negeri ini.
“Sebagai pemimpin masa depan mereka harus mempunyai keupayaan untuk mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh untuk memenuhi
permintaan pasaran selaras dengan ekonomi berasaskan pengetahuan dan kemajuan teknologi.
“Dalam era Revolusi Industri 4.0 yang sedang kita alami ini, kemahiran teknikal yang tinggi diperlukan untuk memenuhi keperluan industri agar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
“Saya mahu penerima ABCNS menggunakan peluang yang diberikan ini dengan sebaik mungkin dan sentiasa memiliki sifat ingin tahu serta berani berfikiran luas untuk meneroka
aplikasi seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), Realiti Maya (Virtual Reality) dan gamifikasi (Gamification) sebagai langkah ke arah mewujudkan masyarakat yang celik teknologi tanpa menjejaskan kemampuan berfikiran secara kreatif,” ujarnya.