KOTA KINABALU: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melaksanakan Program Lawatan Konsultasi HASiL dan Lawatan Zon Ekonomi Negeri Sabah 2023 Peringkat Negeri Sabah.
Program ini berlangsung bermula hari ini (7 Ogos) hingga 12 Ogos 2023 dan akan melibatkan lima daerah utama iaitu Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Sandakan dan Kudat.
Pengarah Negeri Sabah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Datuk Hajam Lajah Alam berkata, program yang julung kali ini, adalah usaha berterusan pihak LHDNM untuk meluaskan aktiviti AES iaitu Awarenes (Kesedaran), Education (Pendidikan) dan Service (Perkhidmatan).
Katanya, pendekatan baharu LHDNM ini juga merupakan serampang dua mata, yang mana selain menguatkuasakan undang-undang percukaian, LHDNM juga turut dilihat sebagai rakan yang mesra, prihatin dan membantu rakyat secara lebih dekat.
“Program seumpama ini, adalah merupakan salah satu fokus
utama LHDNM dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pentadbir cukai negara.
“Aktiviti Lawatan Konsultasi Hasil ini, merupakan rutin LHDNM setiap masa untuk menerapkan kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat umum berkenaan kepentingan cukai untuk negara,” katanya.
Beliau berkata demkian dalam ucapannya semasa merasmikan Program Lawatan Konsultasi HASiL dan Lawatan Zon Ekonomi Peringkat Negeri Sabah Bil 1/2023 Dewan Persidangan Tingkat 9, Menara Hasil Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hajam turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Team HASiL khasnya, Seksyen Perisikan dan Profiling, Seksyen Pungutan dan Seksyen Undang-undang di atas kerjasama bersepadu dalam merancang dan
melaksanakan program ini.
Beliau berkata, pemulihan dan perkembangan positif aktiviti ekonomi, industri, perkhidmatan dan sebagainya sejak kebelakangan ini, menunjukkan satu signal yang baik kepada gagasan
Sabah Maju Jaya.
“Berdasarkan kepada impak ini, pihak LHDNM terpanggil untuk turun padang bagi melihat dan membuat pemerhatian (feasibillity study) agar pelaksanaan aktiviti percukaian dapat diseimbangkan dengan keadaan semasa.
“Melalui program ini juga, pihak LHDNM berharap
dapat mengumpul pelbagai maklumat di lapangan di setiap daerah yang dilawati ke arah pembesaran asas cukai dan
mengemaskini data-data sedia ada di LHDNM,” jelas beliau.
Selain itu juga, katanya, dalam memastikan kebersamaan semua masyarakat dalam pematuhan tanggungjawab membayar cukai, pihak LHDNM Sabah akan turut mengadakan aktiviti menyantuni pembayar cukai secara bersemuka bagi menyerahkan surat, notis dan saman (bagi mereka yang tegar), di mana para petugas akan memberikan penjelasan yang terperinci agar pembayar cukai dapat membuat pertimbangan yang lebih baik dalam hal-hal pematuhan
percukaian di masa hadapan.
“Bukan memburu tetapi membantu adalah fokus utama LHDNM untuk menawarkan penyelesaian dan akhirnya meringankan beban pembayar,” ujarnya.
Menurutnya, LHDNM juga telah menyediakan banyak perkhidmatan secara dalam talian untuk memudahkan pembayar cukai tanpa perlu hadir ke pejabat. Melalui perkhidmatan sedemikian akan dapat mengurangkan masa dan
menyenangkan pembayar cukai untuk berurusan dengan LHDNM kelak.
“Program Khas Pengakuan Sukarela atau PKPS 2.0 yang diperkenalkan pihak kerajaan melalui Pembentangan Bajet 2024 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalahpeluang kepada semua rakyat untuk mengemaskini pelaporan pendapatan mereka yang masih belum dilapor, terkurang lapor dan perbelanjaan yang terlebih tuntut sebelum ini.
“LHDNM Sabah juga turut menggunakan platform Lawatan Konsultasi HASiL dan Lawatan Zon Ekonomi ini untuk mempromosi dan menggalakkan pembayar cukai di seluruh negeri Sabah untuk mengambil peluang yang ditawarkan sebelum ianya berakhir pada 31 Mei 2024.
“Edaran risalah dan penerangan berkenaan PKPS 2.0 ini juga akan dibuat sewajarnya oleh para petugas semasa di lapangan,” katanya.