Kuala Penyu: Pembinaan Telaga Tiub di kawasan hutan simpan mampu mencegah berlaku kebakaran serius khususnya tanah gambut.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah (JAS), Amirul Aripin berkata, Sabah akan menerima hujan di bawah purata normal bermula November depan dan menjangkakan kebakaran di hutan tanah gambut.
“Melalui mesyuarat jawatankuasa, Jabatan Meteorologi meramalkan akan berlaku kemarau di Sabah yang boleh mengakibatkan berlakunya kebakaran di hutan-hutan tanah gambut dan seterusnya mendatangkan jerebu.
“Bagi menghadapi bencana tersebut, kita adakan siri latih amal penggunaan Telaga Tiub yang telah kita bangunkan di kawasan berisiko tinggi berlaku kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Program Uji Cuba dan Latih Amal Prosedur Tetap Operasi (SOP) Pencegahan dan Pemantauan Kebakaran Tanah Gambut serta Kawasan Lain Berisiko Kebakaran Untuk Mengatasi Jerebu Tahun 2023 Negeri Sabah, di sini semalam.
Amirul berkata, telaga itu diyakini mampu mengepam air dari bawah tanah bagi memberi sumber air kepada pihak Bomba melakukan pemadaman api di kawasan hutan tanah gambut yang sukar dimasuki oleh jentera besar Bomba seperti di kawasan hutan Daerah Klias.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah, Christopher Francis Tating selaku jabatan bertanggungjawab kepada Telaga Tiub berharap agar lebih banyak pembinaannya pada masa akan datang melihat keluasan tanah gambut yang ada di Sabah.
“Setakat ini, kita hanya mempunyai 13 telaga tiub yang kesemuanya terletak di sekitar semenanjung Klias dan ia patut ditambah memandangkan keluasan tanah gambut di Sabah sangat luas serta berisiko terjadi kebakaran pada musim panas,” katanya.
Christopher berkata, selain kos yang dianggarkan mencapai RM250,000 bagi satu telaga, pihaknya berdepan dengan beberapa cabaran lain yang menyebabkan pihaknya sukar membina telaga berkenaan.
“Faktor lain yang menyukarkan kita membinanya ialah bagaimana kita mahu akses kawasan tersebut berdasarkan data yang ada kerana tidak semua kawasan sesuai bagi tujuan penggerudian memandangkan kedalaman nya mencapai 50 meter ke bawah tanah.
“Dengan kedalaman tersebut, sumber tersebut sentiasa ada bagi membekalkan air kepada pihak yang bertanggungjawab memadam api sekiranya terjadi kebakaran di kawasan berhampiran,” katanya.