HomeUtamaKelewatan peruntukan bukan isu, kerajaan tetap laksana projek tangani masalah air -...

Kelewatan peruntukan bukan isu, kerajaan tetap laksana projek tangani masalah air – Hajiji

Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa peruntukan RM320 juta untuk menangani masalah air di Sabah akan sampai pada bila-bila masa sahaja.

Bagaimanapun, katanya pada ketika ini, kerajaan tetap melaksanakan projek itu bagi mengatasi masalah air yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini.

“Peruntukan akan sampai bila-bila masa, jadi jangan buat itu sebagai isu terlambat sedikit kerana ianya dalam pentadbiran tetapi pelaksanaan projek untuk mengatasi masalah air sekarang ini sedang kita laksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan restoran McDonald’s Pandu-Lalu dan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara McDonald’s Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di Jalan Sulaman 2 pada Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai peruntukan RM320 juta tersebut yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada ianya sebagai geran ataupun pinjaman mudah, Hajiji berkata, geran atau pinjaman yang penting isu masalah air di Sabah dapat diselesaikan dengan segera.

“Itu dia (Anwar) bagi kita (kerajaan Sabah) untuk geran, geran atau pinjaman yang penting masalah air selesai, elektrik selesai, kita mahu menyelesaikan masalah ini.

“Banyak perancangan kerajaan yang akan kita laksanakan untuk menyelesaikan masalah air ini untuk jangka masa panjang, kita bercadang untuk membina empangan, dan juga selesaikan masalah-masalah lain termasuk elektrik, sebab dua isu ini yang sangat penting untuk Sabah, untuk rakyat kita iaitu mengenai air dan elektrik.

“Jadi Kerajaan Negeri akan berusaha menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang,” jelasnya.

Pada awal Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan sebanyak RM320 juta untuk kerajaan Sabah yang akan digunakan bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dan penyelenggaraan pam atau loji rawatan air (LRA) di negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Ops Buaya: JHL tembak mati buaya betina di Kg Sabah Baru

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular