Kota Kinabalu : Seorang guru tadika dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 atau 12 bulan lagi penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu di sini hari ini.
Tertuduh, Melona Eva Ezwa Musah,27, dijatuhkan hukuman atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di salah sebuah tadika di Penampang pada 8 Ogos lalu.
Melona yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Mahkamah turut menetapkan RM2,000 dengan seorang penjamin bagi bon itu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu pada 8 Ogos antara jam 9 hingga 10 pagi di sebuah tadikan di Kampung Seronok Noosob Penampang.
Kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) dan Seksyen 31 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dacia Jane Romanus.
Manakala, tertuduh diwakili peguam Hairul Vaiyron Othman Jp dan Luke Ressa Balang.
Terdahulu, tular satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tertuduh di sebuah tadika bertindak menendang, menarik rambut, menolak dan memukul kepala mangsa dengan menggunakan buku. – GAMBAR KREDIT INFO X