Kota Kinabalu : Keadaan hujan renyai-renyai tidak menghalang para peserta untuk menyertai beberapa acara sempena siri Jelajah Fit Malaysia peringkat negeri Sabah 2023 di sini pagi tadi.
Program yang berlangsung selama dua hari di Kompleks Sukan Kota Kinabalu bermula semalam itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Hadir sama pada program itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Fairuz Renddan.
Peserta yang hadir mula membanjiri tapak program seawal jam 6 pagi bagi menyertai beberapa acara antaranya Fun Ride; Fun Run dan Fun Walk selain beberapa acara lain yang turut dilaksanakan.
Ellron berkata, program itu merupakan suatu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam proses transformasi kea rah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Bersukan.
Katanya, Fit Malaysia juga merupakan sebuah karnival sukan berkonsepkan kecergasan melibatkan pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat khususnya di negeri ini.
“Antara objektif penganjuran program ini adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat sehingga akar umbi terhadap mementingkan gaya hidup aktif dan cergas.
“Program seumpama ini juga dapat menjadi platform pembudayaan sukan untuk semua dengan mengamalkan gaya hidup aktif dan cergas dengan visi misi sukan selari dengan Visi Sukan Negara 2023 mencapai status negara sukan,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, program itu juga dapat memupuk kesetiaan masyarakat kepada negara dengan pendekatan menyantun masyarakat secara inklusif tanpa mengira Batasan kaum, agama, umur, jantina dan keadaan fizikal melalui aktiviti kecergasan sukan serta rekreasi.
Dalam pada itu, Ellron berkata, Sabah merupakan negeri keenam dalam siri jelajah Fit Malaysia sebelum acara kemuncak penganjuran dilaksanakan sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) pada 14 Oktober depan.
“Penganjuran acara di bulan kemerdekaan ini juga merupakan instrument terbaik dalam meningkatkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan kerrang Malaysia Madani pada masa ini,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH