HomeUtamaLima pelajar cemerlang terima Biasiswa Anugerah TYT Sabah

Lima pelajar cemerlang terima Biasiswa Anugerah TYT Sabah

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu : Seramai lima pelajar cemerlang di negeri ini menerima tawaran Biasiswa Anugerah Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah bagi melanjutkan pengajian ke luar negara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman berkata, pengiktirafan itu adalah sebagai usaha Kerajaan negeri untuk menyediakan modal insan bertaraf dunia seterusnya membantu Sabah dalam pembangunan masa depan.

Katanya, penganugerahan itu juga diharap akan dapat memberi motivasi kepada pelajar untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

“Hari ini kita telah mengadakan kunjungan hormat kepada TYT Yang Di-Pertuan Negeri dan Alhamdulilah Tun telah perkenan untuk menyampaikan Anugerah TYT kepada lima orang pelajr cemerlang yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam program biasiswa mereka.

“Kelima-lima mereka ini dipilih dari pelbagai daerah, suku bangsa dan mereka dijangka akan berlepas ke United Kingdom (UK) pada penghujung September ini.  Setakat ini kita telah pun menghantar seramai 80 pelajar yang masih dalam program mereka termasuk yang akan dihantar dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Zainudin berkata, program itu juga akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan Sabah mampu mempunyai pelajar yang mempunyai minda kelas dunia selain turut menghantar pelajar ke universiti tempatan di negara ini.

“Pelajar yang terpilih ke UK ini akan meneruskan pengajian ke Northumbria University, Newcastle, United Kingdom dalam pelbagai bidang pengajian dimana antara pendekatan kita adalah dapat memastikan mereka berkumpul sebagai satu keluarga dan mudah kita pantau.

“Antara bidang yang diikuti adalah Sains Biomedikal; Kejuruteraan Mekanikal; Sains Komputer dan Undang-Undang.  Pemilihan bidang ini juga menjurus kepada bidang yang tidak terdapat di Sabah atau program yang sangat diperlukan untuk mereka pelajari di universiti terkemuka di dunia,” katanya.

Pelajar cemerlang yang terpilih ialah Ezra Audrey Aizee Muhamad Nureeh; Muhammad Luqman Hakiem Mustal ; Nur Aina Latifah Umar; Jason Gubeen Sapikit; dan Zachery Xavier Yu Ket Yin.- SABAH MEDIA / FOTO JPAN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan rancang tubuh Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal, Vokasional

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular