HomeUtamaPerpaduan rakyat tunjang kepada sebuah negara bangsa berjaya - Christina

Perpaduan rakyat tunjang kepada sebuah negara bangsa berjaya – Christina

Read Time:1 Minute, 48 Second

Kota Kinabalu: Usaha Kerajaan Perpaduan dalam memupuk perpaduan terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya, bangsa dan taraf sosioekonomi merupakan agenda penting dalam memastikan negara aman, stabil, harmoni serta sejahtera.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan wilayah inilah yang menjadi tunjang kekuatan rakyat kita sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.

“Oleh itu, perkukuhkanlah perpaduan, pupuk kerjasama yang lebih erat dan tingkatkan integrasi. Saya yakin, dengan semangat perpaduan kaum dan integrasi nasional yang jitu, Malaysia akan terus berada di landasan yang kukuh untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Sepertimana yang termaktub di dalam tema tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, jelaslah bahawa Kerajaan Perpaduan Malaysia fokus dalam memastikan nilai perpaduan terus diperkasakan bukan sahaja dalam kalangan rakyat tetapi juga antara pemimpin dan rakyat.

“Kerjasama yang erat inilah yang menjadi kunci utama untuk memenuhi harapan agar Malaysia menjadi sebuah negara maju serta moden setanding dengan negara maju yang lain di arena antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah di Padang Merdeka di sini semalam.

Majlis dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri isterinya Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Christina berkata, nilai-nilai Malaysia Madani yang berpaksikan kepada enam teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan adalah penting dalam usaha membina kekuatan agar terus teguh bersatu, kukuh berpadu serta kalis cabaran dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi.

“Saya percaya bahawa hanya rasa cinta terhadap negara membolehkan kita terus bekerjasama dan bersatu padu untuk mempertahankan nilai-nilai kedamaian, keamanan dan kemerdekaan untuk membangun dan menjaga kedaulatan negara kita.

“Justeru itu, saya menyeru agar kita semua dapat menghayati konsep perpaduan dan jati diri bangsa Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Christina berkata, generasi muda kini yang kaya dengan pelbagai daya cipta hasil kemudahcapaian ilmu menerusi teknologi rangkaian internet yang kian mudah dicapai juga adalah amat penting dalam menggerakkan negara ini ke hadapan.

“Bukanlah satu perkara yang memeranjatkan sekiranya dalam kalangan mereka ini bakal muncul cendekiawan yang boleh menandingi golongan bijak pandai yang kita ada hari ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tandas bersih kriteria utama perbaharui lesen perniagaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular