HomeUtamaKes Ahmad Zahid Bukan Satu-Satunya Kes DNAA

Kes Ahmad Zahid Bukan Satu-Satunya Kes DNAA

Read Time:1 Minute, 52 Second

BERNAMA

PARLIMEN — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau tidak campur tangan dalam keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat oleh Peguam Negara ketika itu Tan Sri Idrus Harun selaras dengan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa Peguam Negara dalam menjalankan budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding mahkamah.

Anwar menegaskan perkara itu semasa menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini. Isu DNAA Ahmad Zahid dibangkitkan oleh rata-rata Ahli Parlimen ketika membahaskan usul itu.

Memberi contoh kes melibatkan Pendakwa Raya lawan Siti Aisyah dan Doan Thi Huong dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, Anwar berkata keputusan DNAA  Ahmad Zahid itu bukanlah kali pertama sesuatu pertuduhan dihentikan selepas kes prima facie dibuktikan. 

“Yang sebelah sana (pembangkang) pun ada kes prima facie tetapi dibuang, DNAA, kemudian ada kes Siti Aisyah. Keputusannya Peguam Negara, budi bicara dia, tapi mengapa buat tuduhan melulu dan kurang sopan menyerang Perdana Menteri dan menganggap saya campur tangan? Apa bukti saya campur tangan?

“Lepas itu tuduh saya bincang, saya tak bincang, saya tanya apakah alasan kuat untuk berikan DNAA. Kemudian SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) buat keputusan mengatakan siasatan diteruskan dan kalau ada bukti tambahan akan teruskan pendakwaan,” katanya.

Dalam kes Ahmad Zahid, Anwar berkata Peguam Negara Tan Sri Idrus ketika itu memaklumkan bahawa kes itu terpaksa ditarik balik berdasarkan alasan tertentu. 

“Saya kata tak boleh tangguh ke? Dia kata tidak itu tugas saya, hati nurani saya, saya perlu melakukannya sebelum bersara. Jadi saya kata ok,” kata Anwar.

Anwar berkata beliau tidak mempertikaikan pihak yang membangkitkan perkara itu, namun tuduhan seperti munafik dan terus menghukum orang tidak sepatutnya berlaku.

“Saya tahu ramai tak puas hati, betul, itu hak mereka. Tanya Peguam Negara, Peguam Negara bagi alasan. Saya simpati sebab Peguam Negara sekarang yang kena bagi penjelasan.

Keputusan itu dibuat oleh mantan Peguam Negara yang dilantik oleh Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya.

Anwar turut menempelak sikap Ahli Parlimen pembangkang yang hanya bertumpu kepada kes DNAA Ahmad Zahid sedangkan kes rasuah yang melibatkan berbilion ringgit oleh pihak tertentu tidak pernah dibangkitkan.

— BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan curi kabel punca gangguan bekalan di Kinarut

Mahkamah Kota Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular