CYBERJAYA — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengarahkan siasatan dijalankan selepas seorang pelancong asing mendakwa sebuah inap desa didiaminya di Sabah memasang kamera tersembunyi.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, berkata beliau meminta kerajaan negeri mahupun Motac Sabah serta agensi berkaitan mengambil serius dakwaan itu dan mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya Dakwaan yang didedahkan di sebuah platform media sosial Xiaohongshu yang berpangkalan di Shanghai pada 14 September 2023 itu kemudiannya diulang siar oleh portal berita tempatan.
Katanya lagi, hukuman tegas dan setimpal wajar dikenakan kepada mana-mana pihak yang terbukti bersalah, kerana perbuatan terkutuk seperti ini bukan sahaja salah disisi undang-undang, tetapi juga menjejaskan imej industri pelancongan negara katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiong turut mengingatkan kepada semua pengusaha homestay atau pemilik yang berdaftar dengan MOTAC dan memperolehi penggredan daripada MOTAC, jika mereka melakukan sesuatu yang melanggar undang – undang dan disabitkan bersalah, MOTAC akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka, seperti membatalkan pendaftaran dan menarik balik penggredan mereka.
Terdahulu, seorang wanita China mendedahkan menemui kamera tersembunyi di sebuah inap desa di Sabah menerusi platform media sosial Xiaohongshu.
Wanita itu memuat naik gambar mendedahkan lubang bulat di tengah soket, yang apabila diterangi lampu suluh telefon bimbit, menampakkan seperti cermin.
Dia kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis dan menerima bayaran balik daripada inap desa berkenaan.