Kota Kinabalu : Sabah FC bertekad untuk bangkit pada aksi saingan pusingan kedua suku akhir Piala Malaysia menentang Perak FC di Stadium Perak malam ini.
Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, kemenangan pertama pada aksi pembukaan Kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Likas Khamis lalu memberi keyakinan yang diperlukan oleh pasukannya.
“Setiap pertandingan adalah penting, oleh itu ketika para pemain melangkah ke padang Stadium Perak malam esok (mala mini) kemenangan merupakan sasaran utama kita. Perlawanan suku akhir pusingan kedua menentang Perak mungkin berbeza daripada apa yang berlaku ketika mencatatkan keputusan seri di Stadium Likas 15 September lalu.
“Kita mahu Sabah FC lebih konsisten bagi membuktikan kepada semua bahawa kami perlu bangkit sekaligus melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia seperti tahun lalu.
“Piala Malaysia dan Piala AFC adalah dua kejohanan berbeza, ia satu tugas besar menentang pasukan seperti Perak kerana mereka menewaskan Kedah (agregat 4-3 dalam pusingan 16) jadi mereka tahu bagaimana untuk mendapatkan keputusan terbaik malam esok,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.
Kim Swee berkata, Sabah FC perlu kekal fokus, tidak mengulangi apa yang berlaku di Likas (15 September) ketika menjadi tuan rumah sekali gus perlu konsisten mencapai keputusan positif malam ini.
“Tiada apa-apa pertandingan yang tidak penting, apa jua piala yang kami mainkan, itu semua perlawanan penting untuk kami kerana semua orang memahami objektifnya,” katanya.
Kim Swee memuji usaha pasukannya setakat ini dan berkata para pemainnya mula menunjukkan komitmen tinggi pada setiap perlawanan.
“Terdapat kombinasi yang baik di kawasan tertentu, yang paling penting ialah kami boleh pergi lebih jauh daripada tiga gol di Piala AFC terutamanya ketika kami mendahului 2-0.
“Kami mesti tahu bagaimana untuk mengawal keadaan terutama ketika kami menentang Perak di hadapan penyokong tuan rumah mereka di Ipoh,” katanya.
Bekas jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan itu menambah, dia ingin melihat kejayaan tahun lalu untuk mara ke separuh akhir atau lebih baik.
Musim lalu, Sabah mara ke separuh akhir tetapi tewas kepada pemenang akhirnya Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kekalahan agregat 1-4. – SABAH MEDIA/FOTO SABAH FC