HomeUtama'Gaya' anak penyu hijau selamat dikembalikan ke habitat semula jadinya

‘Gaya’ anak penyu hijau selamat dikembalikan ke habitat semula jadinya

Read Time:3 Minute, 26 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Lebih 100 pengunjung terdiri daripada pelancong dalam dan luar negara sangat teruja dapat menyaksikan satu peristiwa penting iaitu upacara pembebasan seekor anak penyu yang dikembalikan ke habitat semula jadinya setelah empat bulan dibawah jagaan Pusat Marin, Gaya Island Resort, dekat sini semalam (25 Sept 2023).

Upacara ringkas pembebasan penyu itu telah diadakan di pantai Teluk Maloham yang terletak di hadapan resort.

Spesies penyu hijau itu diberi nama ‘Gaya’ telah berada dalam jagaan Pusat Marin Gaya sejak 7 Jun awal tahun ini selepas diselamatkan oleh seorang nelayan tempatan berdekatan dengan Gaya Island Resort.

Ahli Biologi Marin, Scott Mayback berkata, setibanya di Pusat Marin Gaya, penyu berkenaan telah menjalani pemeriksaan menyeluruh dan disahkan mengalami kelemahan kronik, dehidrasi teruk, dan kekurangan zat makanan.

Katanya, pasukannya segera memulakan pelan rawatan Gaya yang termasuk satu siri antibiotik dan titisan garam dalam tempoh 30 hari, bersama dengan multivitamin dan program pemakanan.

“Terdapat peningkatan besar dalam saluran penghadaman Gaya dan selera makannya perlahan-lahan bertambah baik dari semasa ke semasa, dengan peningkatan berterusan dalam jisim badannya daripada 4.4 kilogram (kg) kepada 5 kg selepas satu bulan penjagaan.

“Selepas kira-kira empat bulan pemulihan, berat idealnya 7 kg telah dicapai dan Gaya telah dianggap sesuai untuk dilepaskan semula ke lautan dan Gaya juga telah ditandakan dengan tag logam pengenalan sebelum ia dilepaskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melepaskan penyu tersebut ke habitat asalnya di perairan berdekatan dengan resort itu.

Pemulihan Gaya menandakan usaha konsisten resort dalam memainkan peranan proaktif untuk memelihara keindahan persekitaran semula jadi dan melindungi hidupan liar tempatan.

Dengan bantuan pasukan yang bersemangat dan berdedikasi yang diterajui oleh Pengarah Pemuliharaan, Justin Juhun dan Ahli Biologi Marin, Scott Mayback di Pusat Hidupan Liar Gaya Island Resort dan Pusat Marin Gaya Island Resort, resort ini mempunyai beberapa inisiatif mesra alam yang merangkumi daripada pemuliharaan melalui pendidikan kepada program menyelamat.

Menurut Scott lagi, setakat ini 28 ekor penyu yang dipulihkan di Pusat Marin Gaya telah dibebaskan setelah mendapati tahap kesihatan penyu-penyu itu baik dan sesuai untuk dikembalikan ke lautan.

Katanya, terdapat tiga spesies penyu yang dikenal pasti terdapat di perairan Sabah iaitu Penyu Hijau (Green Turtle) Penyu Lipas ( Olive Ridley Turtle) dan Penyu Sisik (Hawksbill Turtle).

Selain Gaya, dua ekor penyu lagi ‘Covid’ dan ‘Barbara’ masih dalam proses penyembuhan di Pusat Marin itu.

“Covid mengalami ketumbuhan ditengkuk dan luka di bahagian belakangnya manakala Barbara mengalami kesukaran untuk tenggelam dan kedua-duanya sedang dalam rawatan yang intensif. Kedua-duanya juga akan dilepaskan bila mereka benar-benar pulih,” kata Scott.

Turut hadir, Pengurus Gaya Island Resort, Cyril Arrouard, Pengurus Taman Tunku Abdul Rahman, Kenneth Conrad Sion dan Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah (Pantai Barat), Jain Kuriting.

Sementara itu, Jain berkata, beberapa kakitangan resort tersebut telah mengikuti kursus Warden Kehormat yang dianjurkan oleh pihak JHL Sabah.

Katanya, daripada kursus berkenaan Warden Kehormat yang telah lulus itu ada kuasa untuk mengendalikan hidupan liar di kawasan resort tersebut.

“Kami juga sentiasa berhubung sekiranya ada apa-apa mengenai hidupan liar di kawasan ini, mereka akan terus menghubungi kami untuk tindakan selanjutnya. Setakat ini kerjasama sangat baik,” katanya.

Mengenai penyu yang dilepaskan, Jain berkata, sukar untuk memastikan penyu tersebut akan menjadi buruan nelayan yang tidak bertanggungjawab namun sekiranya dijumpai, tag pengenalan yang telah diletakkan ke atas penyu itu, memudahkan pihaknya untuk mengenal pasti penyu tersebut adalah dari Pusat Marin Gaya yang telah dipulihkan dan dibebaskan.

Menurut Jain lagi, tiga spesies penyu iaitu Penyu Hijau, Penyu Lipas dan Penyu Sisik adalah spesies haiwan dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum Seksyen 41 (4) Enakmen yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda minima RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun,” jelasnya.

Justeru, beliau menggesa kepada masyarakat setempat supaya turut sama menjaga spesies haiwan yang dilindungi agar tidak pupus selain menjadi tarikan pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

SPRM bidas helah pemberi maklumat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular