HomeUtama55 pegawai Sabahan terima Watikah Pelantikan Pegawai Teknikal Contract of Service

55 pegawai Sabahan terima Watikah Pelantikan Pegawai Teknikal Contract of Service

Read Time:1 Minute, 53 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Seramai 55 orang pegawai dari kalangan anak muda tempatan Sabah menerima Watikah Pelantikan Pegawai Teknikal Contract of Service (COS) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) di sini, hari ini.

Majlis penyerahan Watikah Pelantikan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata, mereka yang dilantik adalah dari kalangan anak-anak muda tempatan Sabah dan akan berkhidmat di pejabat-pejabat daerah di negeri Sabah.

“Pelantikan ini melibatkan perjawatan Jurutera Gred J41. Penolong Jurutera Gred JA29 dan Penolong Juruukur Bahan Gred JA29 di kalangan belia Sabah.

“Pelantikan hari ini melibatkan seramai 55 orang daripada keseluruhan perancangan penempatan 114 orang merangkumi tiga orang pegawai teknikal bagi setiap 38 pejabat daerah di seluruh Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Menurut Armizan, proses penempatan ke pejabat-pejabat daerah akan diselaraskan bersama di antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah dan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM Sabah).

“Pelantikan ini adalah susulan daripada resolusi Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat 2023 anjuran ICU JPM yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar pada 16 hingga 17 Jun di Merbok, Kedah,” jelasnya.

Tambah beliau, konvensyen ini turut melibatkan kehadiran para pegawai daerah seluruh negara. Dalam konvensyen tersebut, Perdana Menteri telah meletakkan fokus untuk memperkasakan fungsi dan peranan Pejabat Daerah dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan persekutuan di peringkat akar umbi.

Katanya, antara resolusi konvensyen tersebut adalah keperluan untuk membantu memperkukuhkan unit teknikal di pejabat-pejabat daerah bagi meningkatkan berkesanan sistem penyampaian pelaksanaan projek-projek kecil persekutuan di peringkat daerah.

“Ini melibatkan aspek perancangan pra pelaksanaan, pemantauan kemajuan pelaksanaan dan pengesahan kerja pasca pelaksanaan,” katanya.

Armizan turut berkata, pengukuhan unit teknikal pejabat-pejabat daerah dengan penempatan pegawai teknikal melalui pelantikan secara CoS ini diharapkan dapat memastikan projek-projek infrastruktur rakyat dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan berdasarkan spesifikasi kerja yang ditetapkan.

“Program rintis ini akan dilaksanakan melalui pelantikan kontrak selama tiga tahun yang sekali gus memberikan peluang dan pengalaman kerja untuk para belia tempatan yang berkelayakan dalam bidang teknikal kejuruteraan awam, ukur bahan dan elektrik.

“Program ini dilaksanakan di seluruh negara berpandukan persetujuan Kerajaan Negeri dengan peruntukan emolumen yang akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Penjawat awam, swasta digalak pakai baju batik motif Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular