Kuala Lumpur : Jambatan Pekan Tuaran ke Sungai Damit yang terletak di daerah Tuaran akan dirobohkan selepas kajian yang dibuat mendapati strukturnya tidak selamat untuk digunakan.
Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib memaklumkan sebuah jambatan baharu akan dibina di lokasi yang sama bagi menggantikan jambatan tersebut.
“Penemuan kajian ‘Independent Checker Engineer’ yang dilantik Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) pada 28 Februari 2022 mendapati struktur jambatan tidak selamat digunakan dan disyor untuk ditutup daripada penggunaan orang awam.
“Jawatankuasa ‘Task Force Damit’ yang ditubuhkan pada September 2022 kemudian menyarankan supaya jambatan baharu dibina di lokasi yang sama setelah jambatan sedia ada dirobohkan berdasarkan justifikasi ‘value for money’, ketahanan (durability) struktur serta keselamatan pengguna,” katanya.
Hanifah berkata demikian ketika menjawab persoalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) berhubung status jambatan tersebut pada sesi ucapan kamar khas persidangan parlimen Dewan Rakyat, di sini baru-baru ini.
Hanifah berkata, Kementerian Ekonomi sedia maklum dan prihatin akan keperluan jambatan ini bagi semua penduduk di pekan Tuaran dan juga kampung-kampung sekitar.
“Kementerian Ekonomi komited untuk mempercepatkan proses yang diperlukan untuk memastikan kemudahan disediakan.
“Dalam hal ini, sebarang keputusan yang diambil oleh Kementerian Ekonomi berkenaan hala tuju projek jambatan ini akan mengambil kira faktor kepentingan rakyat setempat,” katanya.
Untuk rekod, Projek Pembinaan Jambatan Pekan Tuaran – Sungai Damit merupakan projek yang diluluskan Kerajaan Persekutuan pada 24 Mac 2017 di bawah ‘Rolling Plan’ Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dengan peruntukan sebanyak RM18 juta.
Projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan diselia SEDIA yang pada ketika itu berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (kini di bawah Kementerian Ekonomi).
Pembinaan jambatan yang dimulakan pada 20 April 2018 sepatutnya siap pada 19 Oktober 2019.